KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Allisya Tahir meluahkan rasa lega apabila kerajaan membatalkan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman.
Sebelum ini, Allisya yang juga anak kepada aktres, Sharifah Shahira dan penyanyi Jatt Black Dog Bone pernah menyuarakan kebimbangannya mengenai pembinaan lapangan terbang tersebut.
Sejak berkahwin dengan jejaka berasal dari Pulau Tioman, Allisya memilih untuk menetap di sana bersama suaminya.
Menurutnya, pada awalnya dia tidak kisah mengenai cadangan tersebut kerana ia akan memudahkannya untuk berulang alik ke Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, pandangannya berubah selepas mengetahui kesan buruk pembinaan lapangan terbang itu kepada alam semulajadi di kawasan tersebut.
“Selama tiga tahun saya tinggal di Pulau Tioman, banyak perkara yang saya pelajari. Saya ingatkan ok bila ada lapangan terbang akan dibina, tapi rupa-rupanya ia akan merosakkan dan memusnahkan hidupan laut di sana.
“Saya selalu berborak dengan penduduk tempatan. Mereka sering bercerita betapa cantiknya hidupan laut dan terumbu karang di pulau itu suatu ketika dahulu. Suami saya kata, ikan sekarang pun dah tak banyak macam dulu,” katanya kepada Scoop.
Menyedari hakikat itu, Allisya dan penduduk di Pulau Tioman mula menandatangani petisyen agar projek tersebut dibatalkan.
“Saya bersyukur apabila suara penduduk di sini akhirnya didengari. Biarlah Pulau Tioman kekal sebegini. Jangan musnahkan salah satu keindahan yang ada di negara kita,” katanya.
Pada 9 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan pembatalan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan itu adalah sejajar dengan hasrat kementerian yang mengutamakan pemeliharan alam sekitar, konservasi dan penggunaan sumber asli dengan cara yang bertanggungjawab. – 16 Ogos, 2023