KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Muda, Luqman Long memberi jaminan akan mengotakan janjinya untuk melepaskan jawatan dalam parti susulan kekalahan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar (Terengganu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.
Menurutnya, perkara itu perlu dilakukan secara teratur dan akan diusulkan dalam mesyuarat parti yang akan datang.
“Ada yang tanya, bila nak letak jawatan? Jangan risau. Saya akan kotakan janji, cuma harus teratur. Mesyuarat Muda akan datang, saya akan usulkan.
“Saya tetap bersama Muda, susah dan senang. Jadi ahli biasa pun boleh berkhidmat. Saya adalah Muda. Jatuh bangun parti, saya aka nada,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Sebelum ini, media melaporkan Luqman bersedia melepaskan jawatannya dalam kepimpinan parti jika hilang deposit pada PRN.
Katanya, ikrar itu menunjukkan kesungguhannya untuk merampas DUN tersebut dan kehadiran bertanding bukan sekadar mahu memecah undi sahaja.
Pada PRN Sabtu lalu, Luqman tewas dalam pertembungan tiga penjuru di DUN Bandar apabila hanya memperoleh 372 undi.
DUN Bandar kekal milik PAS menerusi penyandang, Ahmad Shah Mohamed yang turut menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Armi Irzan Mohd dengan majoriti sebanyak 2,364 undi. – 16 Ogos, 2023