Bekas pegawai pengawal, KSU perlu hadir prosiding PAC

Ketidakhadiran bekas pegawai pengawal serta KSU akan menyebabkan laporan PAC tidak komprehensif

12:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua bekas pegawai pengawal dan Ketua Setiausaha (KSU) perlu hadir ke prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi menjelaskan isu yang timbul semasa mereka menerajui kementerian, jabatan atau agensi kerajaan terlibat. 

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ia bagi memastikan jawatankuasa itu dapat menjalankan siasatan yang menyeluruh kerana ketidakhadiran bekas pegawai pengawal serta KSU akan menyebabkan laporan PAC tidak komprehensif.

“PAC mengambil maklum bahawa tempoh perkhidmatan pegawai pengawal dan KSU yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) biasanya melangkaui tempoh perkhidmatan sedia ada, hingga menyebabkan mereka gagal memberikan penjelasan terhadap isu-isu yang didapati kerana ia berlaku bukan pada tempoh perkhidmatan mereka.

“Justeru, adalah amat penting untuk semua pegawai pengawal dan KSU bertanggungjawab terhadap PAC seperti termaktub dalam Arahan Perbendaharaan (Pindaan 2023) dan hadir apabila dipanggil oleh jawatankuasa untuk menghadiri prosiding ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau keengganan bekas pegawai pengawal dan KSU hadir ke prosiding PAC merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 9 (a) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

Mas Ermieyati berkata PAC akan menyiarkan kepada umum nama-nama saksi yang enggan hadir dalam prosiding PAC supaya rakyat mengetahui bahawa isu-isu yang disiasat oleh jawatankuasa itu tidak mendapat kerjasama daripada individu-individu berkenaan.

Pada masa yang sama, PAC menuntut Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) mengambil maklum sekiranya terdapat bekas pegawai pengawal dan KSU yang enggan hadir dalam prosiding jawatankuasa ini.

“Selain itu, PAC juga mahu satu mekanisme perlu diwujudkan kerajaan agar kesemua bekas pegawai pengawal dan KSU yang dipanggil, menghadirkan diri ke prosiding PAC,” katanya.

Mas Ermieyati berkata adalah penting untuk PAC menyediakan laporan yang komprehensif dan telus dengan mengambil kira keterangan dan penjelasan semua pihak berkepentingan dalam isu yang disiasat supaya laporan itu benar-benar seimbang demi kepentingan semua pihak.

Katanya laporan PAC yang komprehensif dan telus juga adalah selaras dengan kehendak ahli Parlimen ketika perbahasan berkenaan LKAN di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mahukan supaya PAC menyiasat dengan lebih terperinci isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan itu. – 16 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Tennis star Kyrgios enjoys Raya with family in Malaysia

Born Nick Hilmy Kyrgios, he boasts Malaysian heritage through his mother, Norlaila – affectionately known as Nil. 

Adakah Petronas akan kurangkan pekerja untuk atasi kerugian daripada perjanjian dengan Petros?

Sumber mendakwa syarikat minyak dan gas negara dijangka mengalami kerugian hasil sebanyak 30% sebaik formula yang dipersetujui untuk pengagihan gas asli di Sarawak dilaksanakan

Related