Rasuah: Bekas Timbalan Pengarah Kanan DBKL dihukum penjara empat tahun, denda RM1 juta

Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 15 September 2022 

5:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM1 juta terhadap bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Sabudin Mohd Salleh atas dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 15 September 2022 yang membebaskan Sabudin, 62, daripada kedua-dua pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak bermula hari ini serta denda RM1 juta bagi kedua-dua pertuduhan atau penjara empat tahun, jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, Muniandy membenarkan permohonan peguam K.Theivaendran yang mewakili Sabudin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan sabitan terhadap anak guamnya sementara menunggu rayuan akhir di Mahkamah Rayuan.

Sabudin, yang memakai sut kelabu dan berkerusi roda kerana mengalami masalah sakit lutut, kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang dibantu Natrah Fareha Rahmat memohon mahkamah menjatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM1 juta ke atas Sabudin dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain kesalahan itu serius kerana melibatkan kes rasuah. 

Seorang lagi peguam iaitu Y.Sheelan Samuagam bagaimanapun memohon agar Sabudin dipenjara sehari atas alasan anak guamnya menghidap osteoartritis di bahagian kedua-dua lutut dan pernah menjalani beberapa pembedahan besar.

“Anak guam saya tidak dapat berdiri atau berjalan dengan baik selain memerlukan bantuan kerusi roda. Selepas kaki kirinya menjalani pembedahan pada Januari tahun ini, keadaannya tidak stabil. Oleh itu, dia perlu kerap mendapatkan rawatan susulan di hospital,” katanya.

Pada 18 Disember 2020, Mahkamah Sesyen membebaskan Sabudin daripada kedua-dua pertuduhan di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Sabudin diperintah membela diri atas kedua-dua pertuduhan selepas Mahkamah Tinggi pada 24 Mac 2022 membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Sabudin yang ketika itu Timbalan Pengarah Kanan di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa memperoleh suapan wang tunai itu daripada Wong May Kuan.

Wong ialah subkontraktor Dusari Niaga yang melaksanakan kerja-kerja penurapan semula jalan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2018/2020 dan suapan itu adalah sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada syarikat berkenaan.

Sabudin didakwa melakukan kesalahan itu di kedai serbaneka sebuah stesen minyak, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bukit Antarabangsa di sini serta di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang pada 9 Jun 2018 dan 17 Jan 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. – 15 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related