ALOR SETAR — Kepimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh menolak bahawa Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor adalah calon terbaik untuk dipilih semula sebagai Menteri Besar Kedah dan perlu akur dengan aura serta gelombang Sanusi.
Menurut penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Rusdi Omar pemilihan Sanusi itu juga adalah bagi mengelak kemarahan penyokong serta pengundi di Kedah, yang berjaya memenangkan PN.
Malah katanya, pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meyakinkan Istana Kedah bahawa Sanusi adalah calon terbaik Menteri Besar kerana ia juga sekali gus mengelakkan pergolakan politik di negeri itu.
”Bagi mengelak kemarahan penyokong dan pengundi, Muhyiddin perlu akur bahawa aura dan ‘gelombang Sanusi’ yang berjaya memenangkan Kedah dengan majoriti besar di kebanyakan DUN,’’ katanya kepada Scoop.
Selain itu Rusdi berkata, kes mahkamah melibatkan Sanusi juga tidak menghalang beliau menjalankan tugasnya selagi tidak disabitkan bersalah.
Sebelum ini terdengar ura-ura bahawa kepimpinan Sanusi sebagai Menteri Besar akan digantikan. Antara yang disebut ialah bekas Naib Canselor UUM, Profesor Haim Hilman Abdullah yang menang di DUN Jitra dan Datuk Mohd Hayati Othman (Tokai).
Malah Haim dan Mohd Hayati ketika ditemui malam tadi di Markas PAS negeri Kedah menyatakan sokongan sebulat suara kepada Sanusi untuk dilantik sebagai Menteri Besar.
Mereka juga menyifatkan khabar angin itu hanya spekulasi, apatah lagi mereka masih baharu.
Dalam pada itu, usai kemenangan, Sanusi dalam sidang media di ibu pejabat PAS Kota Sarang Semut tengah malam tadi, terlihat agak keletihan malah memaklumkan penyusunan pentadbiran kerajaan negeri akan ditentukan parti sekali gus memberi bayangan calon untuk mengisi jawatan itu belum muktamad dan masih dalam perbincangan.
Pada PRN semalam, PN mengekalkan penguasaannya di Kedah apabila memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN) pula hilang tiga kerusi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu Sungai Tiang, Guar Chempedak dan Bandar Baharu.
Sanusi pula berjaya mempertahankan kerusi DUN Jeneri dengan menewaskan calon BN, Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim, yang juga Ketua Umno bahagian Sik. – 13 Ogos, 2023