KUALA LUMPUR — Perikatan Nasional (PN) bukan menang besar sebaliknya parti berkenaan hanya sembang besar, demikian pandangan pemerhati dan penganalisis politik, Liyana Marzuki, mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri semalam.
Ini kerana kata, Liyana, pemimpin PN sebelum ini mensasarkan perikatan berkenaan akan menang besar serta menawan enam negeri namun ia kecundang di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.
“TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) punya bongkak sebelum PRN ini. Katanya dia cukup yakin PN akan tawan semua 6 negeri.
“Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) jangkakan mereka akan dapat skor 5-1. Selangor dan Negeri Sembilan akan jatuh.
“TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) juga kata, kalau ini berlaku mereka akan buat gerakan menebuk atap sekali lagi. Tiada siapa termasuk pihak Istana, boleh menghalang. Namun hakikatnya mereka jauh tersasar,’’ katanya menerusi tulisan dalam Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut, Liyana berkata, walaupun pelbagai janji ditabur namun PN gagal menang di tiga negeri dan sekali gus mempersoalkan dakwaan menang besar yang dibuat oleh parti berkenaan sebelum ini.
“Sebenarnya Presiden PN ni sudah terciduk. Terkantoi over confident pada mulanya. Tu sebab jangan bongkak dan sembang deras mula-mula. Sembang deras itu hanya boleh makan ‘Taksuber’,’’ tambahnya lagi.
Mengenai kenyataan Muhyiddin yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan segera susulan keputusan PRN tersebut, Liyana mengimbas semula di mana Muhyiddin juga pernah mengalami kekalahan ketika menjadi Perdana Menteri, namun tidak berundur.
Beliau memberi contoh di mana ketika memerintah negara, setiap kali Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN, parti Bersatu kalah termasuk PRN di Johor serta Melaka, namun Muhyiddin tidak berundur.
“Patut masa tu TSMY pun retire! Gagal banyak benda. Kalau bukan sebab PAS, PRU15 pun terciduk juga.
“Not my kinda of PM. Kalau PN nak berjaya, elok lah ditukar lain pula. Ni dah level dinosaur. Tambah Kluster Mahkamah Jana Wibawa. Sudah basi jua,’’ tegasnya. – 13 Ogos, 2023