KUALA LUMPUR — Selebriti popular tanah air tidak ketinggalan melaksanakan kewajipan mereka dengan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, hari ini.
Antara yang berkongsi momen mereka keluar mengundi di media sosial ialah penyanyi terkenal, Ziana Zain.

Menerusi gambar yang dikongsikan penyanyi lagu Madah Berhelah itu di akaun Instagramnya, Ziana turut membawa ibu dan bapanya untuk mengundi di pusat mengundi di SMK Seksyen 19, Shah Alam.
Selain itu, ahli kumpulan Dolla iaitu Tabby turut memuatnaik gambar jarinya yang mempunyai kesan dakwat biru, menandakan dia sudah selesai menjalankan tanggungjawab untuk mengundi.
Sebelum ini, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu, gambar Tabby menjadi tular gara-gara kukunya yang panjang.
Tidak ketinggalan ialah pelakon dan usahawan, Zarina Zainuddin yang mengundi Bersama anaknya di Subang Jaya.
Menurut Zarina, sesuatu yang merugikan seandainya mereka yang layak mengundi tidak berbuat demikian kerana ia adalah hak sebagai rakyat Malaysia.

Sementara itu, tinggal jauh dari kampung halaman tidak menghalang pelakon Fikry Ibrahim untuk mengundi di Kedah.
“Jangan tanyakan apa yang negara berikan kepadamu, tapi tanyakan apa yang kamu berikan kepada negara,” tulisnya dalam Instagram.
Begitu juga dengan pelakon dan pengacara yang berasal dari Kelantan iaitu Jaa Suzuran. Menerusi hantaran di Instagram, Jaa berkongsi fotonya yang selesai mengundi di Kota Bharu.

Peragawati terkenal tanah air, Alicia Amin Bersama adik-beradiknya turut menjalankan tanggungjawab sebagai penduduk Selangor menerusi foto yang dikongsikan di Insta Story. – 12 Ogos, 2023