PETALING JAYA – Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara masih setia menyokong calon Pakatan Harapan (PH) walaupun gabungan itu menjalinkan kerjasama bersama seteru tradisinya, Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Seorang pengundi muda, Muhammad Zulkarnaen Alim, 25, berkata, masyarakat di situ sudah menerima baik alasan di sebalik keputusan PH bergabung bersama Umno, iaitu bagi membentuk Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik negara.
Malah, beliau yakin masyarakat di kawasan itu tidak lagi berada dalam keadaan dilema atau termakan hasutan naratif Umno-DAP dilemparkan pembangkang, bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap PH.
“Di Kota Damansara, sokongan masih sama sahaja, kalau diikutkan tiada angin perubahan akan berlaku. Macam saya atau anak muda di sini akan memberi sokongan kepada PH.
“Kalau pihak lawan nak main lagi naratif Umno DAP, dah basi isu itu, justeru sila hentikan polemik sebegitu,” katanya ketika ditemui Scoop di Kota Damansara, hari ini.
Manakala, suri rumah, Zana Aris, 26, berpandangan, PH tetap tidak akan terkesan di DUN Kota Damansara walaupun bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ditawarkan sebagai calon di kawasan berkenaan.
“Letaklah KJ (Khairy) di sini sebagai calon lawan, beliau tetap tidak boleh menang di sini. Kekuatan PH tetap utuh sehingga sukar untuk mana-mana parti politik, khususnya PN merampas DUN Kota Damansara.
“Saya tahu beliau adalah mantan menteri, pemimpin yang dilihat seolah-olah dizalimi bekas partinya, Umno, tapi kalau dia bertanding tempat lain, ada kemungkinan menang, namun di sini…tidak,” katanya.
Pengundi lain di DUN Damansara, Aqil Syakir, 25, menyakini calon PH, Muhammad Izuan Ahmad Kasim mampu mencapai kemenangan di situ, biarpun calon terbabit adalah muka baharu.
“Walaupun ada pihak cuba memainkan isu membabitkan pencalonan Izuan yang dipilih pada saat akhir, orang di sini tidak terkesan kerana siapapun calon dari PH, kita akan tetap menyokong individu berkenaan,” katanya.
“Saya yakin kawasan ini akan dimenangi wakil rakyat daripada PH dan gabungan parti Kerajaan Perpaduan itu juga akan kekal mentadbir Selangor. Bantuan ketika Covid-19 yang diberikan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak beri kesan untuk golongan muda seperti kami beralih sokongan kepada PN,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Aidi Amin Yazid sebagai calon di DUN berkenaan.
Namun, sehari sebelum penamaan calon, ia digantikan dengan Izuan yang juga Ketua AMK Selangor. – 11 Ogos, 2023