ALOR SETAR — Menyedia peluang pekerjaan, cakna masalah rakyat setempat dan meningkatkan bantuan pendidikan menjadi antara harapan pengundi muda dalam memilih wakil rakyat bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, esok.
Rata-rata anak muda yang ditemui juga lebih cenderung untuk memberi undi kepada pemimpin yang mudah didekati serta rajin turun padang melawat kawasan.
Bagi pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai, Mustakim Ramli, 35, undi anak muda memainkan peranan besar dalam menentukan kemenangan seseorang calon.
“Sebagai anak muda semestinya saya mengharapkan Kedah dapat menyediakan peluang pekerjaan, secara tidak langsung dapat mengelak generasi muda negeri ini berhijrah ke negeri lain.
“Bagi merealisasi perkara ini pihak yang dipilih menjadi kerajaan perlu mencari kaedah menarik pelaburan masuk ke negeri, bukan sekadar dapat membuka peluang pekerjaan malah turut menjana pendapatan buat negeri,” katanya kepada Scoop hari ini.
Bagi Nur Izzati Ismail, 20, dari Kampung Gelam 2, di sini yang kali pertama akan mengundi di DUN Sungai Limau, berharap wakil rakyat yang dipilih dapat membuat kerja untuk rakyat serta komited melaksanakan usaha mendekati belia dengan beberapa inisiatif baik untuk kebajikan golongan itu.
“Saya akan pilih wakil rakyat yang nampak bersungguh melaksana tugas, menunaikan janji yang dibuat semasa pilihan raya.
“Golongan muda juga mahu melihat Kedah terus membangun, ada peluang kerja dan bantuan pendidikan bagi kami yang muda ini untuk melanjutkan pelajaran, itu paling penting,” katanya.
Peniaga air, Fahmi Dahalim, 30, pula berkata, dia berharap parti yang berjaya membentuk kerajaan negeri turut membela nasib peniaga terutama yang membuka gerai di tepi jalan dan kaki lima.
“Peniaga seperti saya ini pendapatan tak menentu, ada hari banyak ada hari kurang, jadi kalau ada inisiatif kerajaan untuk terus memperkasa peniaga gerai kecil, beri bantuan dan insentif sewajarnya, kami sangat bersyukur.
“Tidak kira siapa pun yang bakal memang dan bentuk kerajaan negeri, nasib golongan susah dan berpendapatan rendah jangan dipinggirkan, begitu juga masalah berbangkit seperti kemudahan air dan jalan perlu sentiasa dijaga,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Amin Ridzuan, 19, dari Baling, berkata undi golongan muda mungkin jadi penentu di kawasan majoriti Melayu di negeri ini.
“Anak muda banyak mengikuti ceramah dan kempen menerusi media sosial terutama TikTok, dan di situ juga mereka menilai calon dan parti yang mana jadi pilihan.
“Anak muda ini banyak yang masih ‘atas pagar’, tak tahu nak pilih yang mana, calon dan parti ada kelebihan masing-masing, jadi kita mungkin lihat dan nilai tawaran manifesto mereka sebelum beri undi,” katanya.
Berdasarkan statistik daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat seramai 1,585,085 daftar pemilih bagi PRN Kedah, di mana sejumlah 104,284 pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun. – 11 Ogos, 2023.