PADANG TERAP – Ungkapan ‘kepala bapak hang’ sering disebut Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas pentas ceramahnya tidak menggambarkan contoh baik bagi seorang pemimpin.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang, Ridzwan Abu Bakar berkata, ungkapan ‘kasar’ yang dianggap biasa oleh Menteri Besar Kedah itu, sebenarnya sukar diterima umum.
“Dalam penggunaan bahasa, ada bahasa tengah dan bahasa baku, kalau menjadikan tempat-tempat terpencil ini sebagai rujukan untuk menjadi perkataan rasmi seorang pemimpin, tidak selayaknya dia (Muhammad Sanusi) menggunakannya.
“Ada kalimah yang diterima sebagai mencarut bagi orang Kuala Kedah itu biasa tapi tidak bagi seorang Menteri Besar. Itu amat tidak berketepatan dengan karaktor seorang pemimpin,” katanya selepas menghadiri ceramah Perpaduan Madani Kuala Nerang di Dataran Putra di sini, malam tadi.
Ridzwan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Sanusi kononnya ungkapan ‘kepala bapak hang’ bukan kata kotor atau makian walaupun ia berbunyi kasar, sebaliknya mendakwa ia slanga harian yang biasa digunakan di kawasan luar bandar seperti Baling dan Sik.
Malah, Ridzwan menegaskan, kata-kata itu tidak selayaknya keluar daripada mulut seorang pemimpin PAS, parti berteraskan Islam, apatah lagi sebagai Menteri Besar.
“Ia boleh jadi biasa bagi penduduk Sik dan Baling tapi atas kedudukan beliau sebagai Menteri Besar, itu bukan ucapan yang selayaknya.
“Setiap posisi itu ada cara bercakap bagi setiap orang, saya rasa betul boleh jadi ucapan biasa tapi atas nama Menteri Besar, itu bukan selayaknya untuk dia,” katanya. – 11 Ogos, 2023.