KUALA LUMPUR – Infografik sebuah rumah kayu bagi menggambarkan model baharu ekonomi Malaysia cetusan idea Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menerima reaksi berbeza dalam kalangan warganet.
Berdasarkan gambar yang dimuatnaik di Twitternya sejurus selepas debat dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli malam tadi, terdapat enam perkara asas yang digunakan untuk pembinaan model baharu ekonomi Malaysia itu.
Enam perkara asas itu adalah bumbung bagi kestabilan nasional, tiang satu (keadilan ekonomi), tiang dua (kitaran ekonomi), tiang tiga (kesederhanaan ekonomi) dan tiang empat (integriti ekonomi) dan halaman untuk keterjaminan makanan.
Seorang pengguna Twitter, AzharBerg75, hairan bagaimana bahagian bumbung rumah kayu itu digunakan untuk menggambarkan kestabilan nasional tetapi ia jelas bertentangan dengan tindakan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
“Stabil tapi nak tebuk atap… ironik,” sindirnya.
Kesimpulan, inilah model (rumah) baharu untuk Malaysia. pic.twitter.com/4WPAZL34z5
— Syahir Sulaiman (@syahirnomic) August 9, 2023
Beberapa pengguna Twitter turut berpandangan sama mengenai perkara itu apabila menyifatkan kestabilan tidak terletak pada ‘bumbung rumah’.
“Tu macam ready (sedia) nak tebuk atap namanya,” kata thezulfo.
Kerajaan PN sebelum ini digelar sebagai kerajaan pintu belakang atau ‘tebuk atap’ yang terbentuk susulan Langkah Sheraton pada 24 Februari 2020.
“Inilah model ekonomi yang diberi nama ‘tebuk atap’,” kata sonjiaowen.
“Bila fikir balik kestabilan patutnya di bawah iaitu tapak dia. Base (tapak) yang utama. Kenapa kestabilan di bumbung? Tebuk atap ke maksud kestabilan tu?” soal chujakucen.
Sebuah gambar kereta mewah yang sinonim dengan kerajaan Kelantan turut disunting dalam infografik tersebut.
Dalam pada itu, terdapat warganet yang menyokong idea Syahir mengenai model baharu ekonomi berkenaan.
“Mestilah letak model rumah kampung, bukan rumah di Damasara atau Putrajaya kan,” kata ajipkasa.
“Insya-Allah rumah ini akan selamat dari bencana banjir. Takbir!” kata LeBarnacle. – 10 Ogos, 2023