PRN Kedah: Warga emas tak mahu ketinggalan mengundi Sabtu ini

Sebanyak 1,585,085 pemilih di Kedah layak mengundi pada PRN kali ini dan 114,061 daripada mereka terdiri daripada pengundi berusia 70 tahun ke atas

4:23 PM MYT

 

ALOR SETAR – Walaupun semakin dimamah usia, Doway Mahmud, 78, kekal bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan yakin satu undi daripadanya adalah penting dalam menentukan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Sabtu ini.

Warga emas yang mesra disapa “Tok Yah” itu berkata tanggungjawab mengundi amat penting dalam proses demokrasi negara bagi memastikan generasi seterusnya mendapat kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

Doway berkata dia turut menasihati 10 cucunya yang akan mengundi pada PRN kali ini supaya membuat keputusan tepat dengan memilih wakil rakyat yang mampu memberi perkhidmatan berkualiti sepanjang tempoh lima tahun akan datang.

“Kebiasaannya, Tok Yah akan dihantar oleh anak ke pusat mengundi dan kemudian petugas SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan tolak menggunakan kerusi roda sampai ke bilik mengundi. 

“Tok Yah memang tidak pernah ‘ponteng’ mengundi dan anak yang berada di luar kawasan seperti di Kajang, Selangor turut disuruh pulang untuk mengundi (di Kedah),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi warga emas Mokhtar Hashim, 72, dari Merbok, Sungai Petani turut teruja untuk keluar mengundi walaupun tahap kesihatannya tidak menentu semenjak perlu menjalani rawatan dialisis, dua tahun lepas.

Dia yang kini menggunakan kerusi roda bagaimanapun enggan menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk tidak menunaikan kewajipan bagi memilih pemimpin yang mampu mentadbir dan menguruskan negeri Jelapang Padi itu.

“Mengundi ini sangat penting jadi pak cik tidak pernah tinggal setiap kali PRN atau PRU (Pilihan Raya Umum) sebab setiap kali proses (mengundi) ini ia tentang penggantian pemerintah yang mampu mengakibatkan sesuatu (kemajuan) berlaku di negeri.

“Bagi pak cik setiap kali mengundi kita perlu berfikir dahulu dan lihat kembali (apa yang parti politik) lakukan sebelum pangkah di atas kertas,” katanya yang akan mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Dawai di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar.

Mokhtar turut menyeru kepada golongan muda yang kini dilihat semakin matang mengenai politik negara, turut melaksanakan tanggungjawab mereka demi kepentingan masa depan mereka. 

Menurut statistik daftar pemilih SPR, sebanyak 1,585,085 pemilih di Kedah layak mengundi pada PRN kali ini dan 114,061 daripada mereka terdiri daripada pengundi berusia 70 tahun ke atas. – 10 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related