BALING – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa ada agensi besar dari luar negara menyalurkan dana kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus memastikan gabungan itu kekal berkuasa.
Menteri Besar Kedah itu mendakwa, pemberian terbabit juga bagi memastikan keputusan PRN di enam negeri pada Sabtu ini, tidak menjadi referendum yang memaksa Kerajaan Perpaduan berundur dari Putrajaya
“Duit datang daripada luar negara, aku tak tahu dari mana. Ada agensi besar derma duit kat dema (mereka) untuk pastikan mereka ini kekal berkuasa supaya enam negeri ini tidak menjadi referendum yang memaksa mereka berundur dari Putrajaya.
“Seluruh dunia sekarang ini beri perhatian supaya PH-BN kekal menjadi kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Program Gathering Anak Baling di Kampung Lalang di sini, hari ini.
Sanusi mendakwa, beliau tidak menuduh pihak terbabit bekerjasama, namun menerusi maklumat diperoleh mengatakan wujud dana begitu besar untuk memastikan PH dan BN kekal menang.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu turut mendakwa wujud gerakan untuk menukar peti undi pada hari pengundian 12 Ogos ini.
“Jaga peti undi molek-molek, petugas-petugas kita perhati molek, jangan tukar, bukan masa nak pergi hantar pusat perjumlahan, tukar masa kita ‘ralit’ dalam pusat pengundian itu.
“Petugas jangan kerdip mata, jangan keluar dok mai TikTok, jangan keluar hisap kok daun (rokok daun) lama-lama, perhati tong tu, jangan ada yang bawak lari tukar boh tong lain.
“Saya dengar ni ada pasukan khas yang pernah dikursuskan untuk menukar tong undi sedang berkeliaran di Kedah ni, tuan puan pakat jaga belaka,” katanya.
Selain itu, beliau mengingatkan pengundi mengambil wang sekiranya dihulurkan pihak tertentu, tetapi tidak perlu memberi undi kepada parti gabungan PH.
“Jaga 12 haribulan ini atau sebelum pada tu ka, kot mereka masuk kampung, bagi duit, duit balas (ambil) undi jangan bagi.
“Bagi duit…ambil, bagi gula…kacau, bagi kain pakai, bagi lembu heret, beri motor pun ambil, tapi undi PN,” katanya — 9 Ogos, 2023