‘Keluarlah mengundi’, Dr Xavier Jayakumar minta pengundi atas pagar laksana tanggungjawab

Bekas menteri itu berkata, pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meletakkan Malaysia di landasan betul untuk 10 tahun akan datang

6:39 PM MYT

 

KLANG – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini mungkin boleh mencetuskan beberapa ‘kejutan menyeronokkan’ sekiranya pengundi di atas pagar turun untuk mengundi calon daripada Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN), kata Datuk Dr Xavier Jayakumar.

Bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu memberitahu Scoop bahawa konsep pemerintahan Malaysia Madani dan Ekonomi Madani yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa Malaysia ke landasan betul untuk sepuluh tahun akan datang.

“Bagaimanapun, bagi menjayakan pelaksanaannya, semua pihak harus bekerjasama. Kerajaan negeri dan kerajaan pusat harus selari dan saling membantu serta menyokong antara satu sama lain untuk menjayakan konsep tersebut.

“Adalah lebih baik jika pengundi PRN memilih kerajaan negeri yang seiring dengan kerajaan pusat,” katanya.

Menjelaskan rasionalnya, bekas Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata, sebarang dasar atau konsep negara memerlukan tadbir urus tanpa gangguan berterusan untuk tempoh sekurang-kurangnya lima hingga 10 tahun, sebelum rancangan yang dibuat membuahkan hasil.

Datuk Dr Xavier Jayakumar berkata, adalah lebih baik jika pengundi PRN memilih kerajaan negeri yang seiring dengan kerajaan pusat – Gambar Instagram, 9 Ogos, 2023

“Apabila Anwar memperkenalkan konsep ini, ia seakan-akan memberi cabaran kepada kita (rakyat). Apa yang kita mahu buat? Apa yang kita ingin capai? Adakah kita ingin membenarkan ketidakstabilan politik mengeruhkan hala tuju negara kita?

“Kita tidak boleh terus berdebat mengenai retorik yang melibatkan 3R (kaum, agama dan raja) serta membenarkan ketidakstabilan politik meresap, itulah yang berlaku dan semua rakyat Malaysia perlu menghormatinya (3R). Sudah tiba masanya untuk meneruskan dan membenarkan negara berkembang serta maju.

Ketika ditanya mengenai kritikan daripada pembangkang susulan hubungan antara PH dan BN, Dr Xavier berkata, Kerajaan Perpaduan terbentuk berdasarkan peluang, keadaan serta pengorbanan.

“Sebab itulah negara kita mempunyai gabungan yang berfungsi dan berjalan lancar. Jika gabungan ini berjaya, negara kita sudah sedia berada di landasan betul untuk masa yang lama dan tiada siapa pun boleh memecahbelahkan gabungan ini.

“Ia adalah gabungan yang sangat kuat pada masa ini jika rakyat memberikan mereka peluang untuk bekerja,” katanya.

Justeru, katanya, rakyat Malaysia harus sedar bahawa pemilihan parti yang diundi adalah gambaran kepada apa yang mereka mahukan dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, bukan hanya untuk satu penggal.

“Akan ada halangan dan cabaran di sepanjang perjalanan ini, tetapi dengan pemerintahan yang tidak terganggu dan kestabilan politik, saya yakin mereka akan dapat mengatasinya.

“Perubahan tidak akan berlaku dalam sekelip mata, tetapi kini tokoh korporat, penjawat awam dan ahli politik akan mempunyai hala tuju jelas untuk Malaysia dalam jangka panjang,” katanya.

Ditanya mengenai kebarangkalian keputusan PRN kali ini, Dr Xavier berkata, status quo berkemungkinan besar akan kekal bagi semua negeri, melainkan jika peratusan pengundi tinggi, termasuk pengundi atas pagar. – 9 Ogos, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related