KUALA LUMPUR – “Penting bagi saya untuk meninjau dan mendapatkan maklum balas daripada penduduk di kawasan saya tandingi ini, sebelum melancarkan manifesto supaya ia memberi manfaat kepada penduduk,” kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, Melanie Ting, 23, kepada Scoop.
Melanie berkata demikian bagi menjawab persoalan mengenai kelewatannya mengumumkan manifesto, memandangkan calon di DUN lain sudah memaklumkan dan ‘mempromosi’ perkara itu sejak minggu awal tempoh kempen.
Katanya, sejak beberapa minggu lalu, dia turun padang meninjau kawasan di Bukit Antarabangsa dan bertemu penduduk untuk mengetahu isu di situ.
“Adalah sangat penting bagi saya untuk meninjau kawasan ini dan bertemu seramai mungkin penduduk bagi mendekati mereka serta mengetahui isu setempat, sebelum melancarkan manifesto saya.
“Bagi saya, dua isu kawasan ini dekat di hati untuk saya perjuangkan, iaitu pemerkasaan belia dan perlindungan alam sekitar. Saya percaya boleh membela penduduk dalam isu sering diperkatakan ini.
“Bukit Antarabangsa, terutama Ampang seperti rumah kedua saya. Semasa saya belajar, saya menghabiskan banyak masa di sini, malah kebanyakan rakan saya berada di sini,” katanya.
Kelmarin, Melanie yang juga calon paling muda di PRN kali ini berkongsi dua manifesto ingin diperjuangkan itu menerusi Instagram miliknya, @melanietingyh.
Jelasnya, pemerkasaan belia menerusi hab belia yang menawarkan pelbagai program pendidikan dan vokasional untuk membantu golongan muda meningkatkan kebolehan serta kebolehpasaran mereka, memainkan peranan penting dalam memupuk individu terbabit menyumbang secara positif kepada pertumbuhan dan pembangunan komuniti mereka.
Manakala, melalui kelestarian alam, katanya, perubahan ingin dibawa nanti adalah memastikan segala pembangunan dilakukan disemak dengan Rancangan Fizikal Negara, disebabkan amat penting untuk memastikan keselamatan penduduk sekitar terjamin.
Ditanya mengenai peluangnya untuk menang di kawasan berkenaan, Ketua Turus Penerangan MUDA itu percaya dengan kemampuan dirinya menjadi wakil rakyat.
Menurutnya, walaupun sedar DUN Bukit Antarabangsa adalah kubu kuat Pakatan Harapan (PH), dia yakin kandungan manifesto tepat dan berkualiti yang mencerminkan keperluan penduduk diumumkannya, dapat meraih undi.
“Saya bertemu dengan ramai orang, termasuk generasi tua di sini yang memaklumkan mereka ingin menyokong saya kerana merasakan sudah tiba masa untuk memberi perubahan kepada generasi muda sebagai pemimpin,” katanya. – 9 Ogos, 2023