Dipilih berlakon dalam Malbatt Misi Bakara, Dafi nafi guna kabel Ismail Sabri

'Biarlah apa orang nak cakap yang penting saya sendiri tahu kenapa saya dapat watak ini,' kata Dafi

12:49 PM MYT

 

PUTRAJAYA — Penyanyi dan pelakon, Dafi menafikan pemilihannya sebagai salah seorang pelakon dalam filem Malbatt Misi Bakara ada kaitan dengan bapanya iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Malah, ketika nama Dafi diumumkan sebagai salah seorang pelakon filem yang diarahkan oleh Adrian Teh itu, ramai yang membuat spekulasi mengenai pemilihannya dan mendakwa filem ini dibiayai oleh Ismail sendiri. 

Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 35, sewaktu ditemui di tayangan perdana filem ini pada Selasa menafikan semua dakwaan itu. 

“Saya harap apa yang dikatakan oleh netizen itu adalah benar. Tetapi ia tidak betul. Mungkin ramai orang akan cakap Dafi dapat watak dalam filem ini kerana ketika itu bapa saya merupakan Perdana Menteri. 

“Walau apa pun yang saya buat, orang pasti akan kaitkan saya dengan bapa saya. Perkara ini saya dah tak boleh nak buat apa. Nak tak nak, memang saya kena hadap benda ni. Biarlah apa orang nak cakap yang penting saya sendiri tahu kenapa saya dapat watak ini.

“Saya dah pernah kerja dengan Adrian sebelum ini. Mungkin kami ada keserasian untuk bekerjasama. Kalau ada orang masih nak berkata-kata, saya rasa saya terpaksa butakan mata dan pekakkan telinga. Yang penting saya dapat watak ini. 

“Saya bukannya menggunakan peluang sebagai seorang anak Perdana Menteri untuk mendapatkan sesuatu kerja. Tetapi jika benar ada orang yang ambil saya atas alasan itu, saya bersyukur kerana itu adalah rezeki,” katanya.

Ditanya adakah sukar baginya untuk menjadi anak kepada seorang tokoh politik berpengaruh yang pernah menjadi Perdana Menteri, kata Dafi dia sudah lali dengan tanggapan orang terhadapnya.

“Saya bermula dalam industri seni pada 2007. Kemudian pada 2008 bapa saya menjadi menteri. Dulu mungkin saya akan terasa hati jika orang asyik kata saya berjaya dapatkan sesuatu disebabkan pengaruh bapa saya. Sekarang saya lantakkan saja. Janji saya dapat apa yang saya nak. Mungkin inilah yang dikatakan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Mungkin saya tumpang rezeki bapa saya,” ujarnya. 

Barisan pelakon filem Malbatt Misi Bakara yang diarahkan oleh Adrian Teh. – Gambar Scoop, 9 Ogos, 2023

Dalam filem Malbatt Misi Bakara, Dafi membawa watak sebagai salah seorang anggota tentera Malaysia yang ditugaskan dalam misi menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang telah diserang oleh pengganas Somalia di Mogadishu pada 1993. Helikopter Black Hawk tentera Amerika telah terhempas di tengah kota Mogadishu dan Amerika telah meminta bantuan Malaysia.

Sebagai persediaan untuk membawakan watak seorang tentera dalam filem ini, Dafi turut mengupah jurulatih peribadi untuk mendapatkan bentuk badan ideal sebelum masuk ke set penggambaran. 

“Saya berikan 100 peratus untuk filem ini. Sebelum ini badan saya agak ‘chubby’. Filem ini merupakan motivasi terkuat saya untuk turunkan berat badan. Jadi saya hubungi jurulatih kecergasan yang merupakan seorang bekas tentera udara untuk melatih saya. Dalam masa tiga minggu berat saya turun 6 kg. Muka saya pun mula nampak ‘jawline’,” kongsinya. 

Selain Dafi, filem yang menelan belanja sebanyak RM20 juta ini turut dibintangi oleh Shaheizy Sam, Bront Palarae, Hairul Azreen, Fauzi Nawawi, Gambit Saifullah, Tony Eusoff, Adlin Aman Ramli dan ramai lagi.

Malbatt Misi Bakara akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 24 Ogos ini dan merupakan filem pertama Malaysia yang akan ditayangkan di pawagam IMAX – 9 Ogos, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

Related