KUALA LUMPUR – Tidak seperti rakan seperjuangannya, Baddrol Bakhtiar, bekas kapten pasukan Hijau Kuning, Radhi Mat Din, lebih berani menawarkan manifestonya kepada penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu di Kedah.
Menerusi perkongsian video di Facebook dan TikToknya, Radhi yang juga calon Perikatan Nasional (PN) menggariskan empat teras utama dalam misinya untuk membangunkan kawasan tersebut jika diberikan mandat pada 12 Ogos ini.
Menurutnya, empat teras tersebut adalah Pembangunan Sosial Ekonomi; Pembudayaan Warisan Ilmu; Pelancongan Warisan Desa dan Sukan Warisan Rakyat dengan tagline, Membangun Desa Warisan Terpelihara.
Beliau berkata, segala permasalahan dihadapi pesawah dan penjaja akan cuba diselesaikan dalam usaha untuk memperkasakan sektor pertanian dan industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan terbabit.
“Hampir 70 peratus penduduk di sini pesawah. Sekiranya terpilih, kita akan cuba selesaikan isu pemilihan benih, penggunaan racun serta masalah infrastruktur berkaitan dengan sektor pertanian.
“Masalah lain turut dikenalpasti membabitkan penjaja yang tertumpu kepada masalah tapak gerai serta lambakan pengusaha IKS yang menjual air nira dan kuih karas,” katanya.
Pada masa sama, Radhi berkata, pelbagai program ilmu dan berbentuk keagamaan juga akan diperbanyakkan di kawasan tersebut.
“Terdapat banyak sekolah tahfiz dan sekolah agama di sini. Program ilmu misalnya kuliah agama patut diangkat lagi untuk menyuburkan minat rakyat,” katanya.
Jelasnya lagi, pelbagai sukan rakyat seperti aktiviti memancing ikan puyu, permainan wau, bola sepak sawah dan pesta jerami akan diperhebatkan untuk menarik kehadiran pelancong.
“Kampung Kelompang khususnya, pernah diadakan pesta jerami sebelum ini dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Insya-Allah, kita akan angkat pesta itu ke dalam kalendar pelancongan negeri,” katanya.
Sementara itu, Radhi berazam untuk menjadikan Alor Mengkudu sebagai kawasan untuk rakyat bersukan atau beriadah.
“Di sini, banyak lokasi di kampung yang menjalankan aktiviti sukan seperti sepak takraw dan silat. Kalaulah sukan ini diangkat dan dimainkan secara lebih meluas, kita boleh jadikan Alor Mengkudu tempat rakyat bersukan,” katanya. – 8 Ogos, 2023