KUALA LUMPUR – Penerbit dan pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA berang apabila rumah pusaka arwah ibu dan bapanya yang terletak di Hulu Kelang Gate, dijadikan markas Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, tindakan itu dilakukan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga calon PN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang.
“Memang saya amat berang dengan tindakan Jemin (Azmin) yang egonya terlalu tinggi hingga membawa ke 12 Ogos 2023.
“So, stop it! Sebab Jemin perlu sedar diri. Sedar ke untung. Siapa Diva AA? Dahlah kau tak paruah (hormat) aku, kau tergamak jadikan rumah pusaka arwah Mak Tom (ibu) dan arwah Haji Ali (bapa) sebagai medan politik jijik kau.
“Pada Diva AA, dia (Azmin) memang melampau dan ini memang ada kaitannya dengan soal ego. Sebab, dia patut menghormati adik-beradik dalam talian rumah pusaka sebelum ia djadikan markas,” katanya kepada Scoop.
Pada masa sama, Azwan berkata, dia tidak tahu sama ada adik-beradik yang lain sudah dimaklumkan Azmin mengenai tindakannya itu.
“Tapi, Diva AA adalah adik kandung beliau. Memang kami dah bertahun tak jumpa, tak bertegur sapa tapi itu bukan soal utama.
“Tolong hormat sikit sebab Diva AA masih ada hak ke atas rumah tu dan kawasan yang dijadikan markas. Kalau dia nak kata Kak Long atau Kak Ngah dah bagi izin, habis aku ni siapa?
“Maklumat terbaharu yang saya dapat tahu, rupanya pada waktu malam, rumah pusaka dan kawasan sekitarnya dihadiri selautan manusia,” katanya.
Jelas Azwan lagi, pendedahan itu dilakukan untuk membuka mata rakyat mengenai sikap sebenar Azmin.
“Kalau tanah sekangkang kera pun, kau tak boleh hormat darah daging kau, kau tak payah menggelupur jadi wakil rakyat kawasan Hulu Kelang.
“Diva AA juga bengang dan kesal dengan penyokong Azmin. Mesej ini untuk penyokong Azmin. Anda berdepan dahulu dengan Diva AA sebelum nak besarkan Jemin. Aku tak kisah kau parti mana, tapi hormat itu penting,” katanya.
Selain itu, Azwan turut kecewa apabila rumah pusaka peninggalan kedua orang tuanya itu diibaratkan seperti al-Quran buruk.
“Memang rumah itu kosong, tiada siapa duduk. Memang dia gunakan duit dia (Azmin) untuk tolak rumah lama menggunakan traktor dan dijadikan rumah baru. Tapi, usah guna kuasa untuk buat adik-beradik marah. Kau ada duit, kenapa tidak buat tempat lain (sebagai markas PN).
“Rumah pusaka yang ada itu terlalu banyak kenangannya. Perkahwinan Jemin juga diadakan di situ. Malah Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamed turut hadir di majlis persandingannya. Rumah itu juga pernah menerima ramai tetamu dalam kalangan artis seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Rohana Jalil, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khatijah Ibrahim serta ramai lagi,” katanya.
Tambahnya lagi, tindakan Azmin membina rumah baru di atas tapak asal rumah pusaka itu didakwanya memberi malapetaka kepada keluarga mereka.
“Waktu rumah asal ditolak dengan traktor, arwah nenek pernah beritahu rumah pusaka tidak baik ditolak, kelak seluruh keluarga akan mendapat bala besar.” – 5 Ogos, 2023