KUALA LUMPUR – Seperti dijanjikan, pempengaruh terkenal, Caprice mengotakan janjinya untuk menghadiahkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada pengikutnya di Instagram.
Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 36, berkata, tawaran hadiah kereta jenis Kia Sportage itu susulan kes saman fitnah antaranya dengan ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen, hari ini.
“Seperti dijanjikan, saya memberikan kereta ini (Kia Sportage) secara percuma. Siapa nak?,” katanya menerusi perkongsian di Instagramnya, hari ini.
Menerusi perkongsian itu juga, Caprice turut bertanya kepada pengikutnya kaedah yang perlu dilakukannya untuk memilih pemenang bertuah itu.
“Adakah kita patut buat cabutan bertuah atau satu pertandingan?” soalnya.
Pada masa sama, penyanyi rap itu sudah membuat permohonan kepada SM Faisal sebagaimana dipersetujui kedua-dua pihak menerusi Instagramnya.
“Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal dan saya sudah menyelesaikan secara pertikaian antara kami secara baik melalui penyelesaian di luar mahkamah.
“Saya kesal dengan peristiwa yang membawa kepada hantaran Reels di Instagram saya bertarikh 28 Jun kerana saya disalahmaklumkan. Saya meminta maaf kepada beliau,” katanya.
Awal hari ini, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili SM Faisal selaku plaintif berkata, kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu.
Menurutnya, antara terma yang dipersetujui termasuk Caprice selaku defendan perlu memuat naik permohonan maaf di Instagram miliknya dalam tempoh 48 jam, manakala terma-terma lain termasuk kos, tidak boleh didedahkan secara terperinci.
Pada 15 Ogos 2022, SM Faisal menyaman Caprice atas dakwaan artis berkenaan memuat naik hantaran berbaur fitnah di Instagram miliknya, yang mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kes bekas isterinya Emilia Hanafi.
Plaintif memohon ganti rugi am, punitif, teladan, teruk dan kos, selain perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu. – 4 Ogos, 2023