Wak Doyok mahu YB yang dipilih jaga kebajikan rakyat, bukan muncul 5 tahun sekali

Sebagai seorang yang diberikan tugas untuk mewakili rakyat, seorang Adun harus mementingkan kebajikan rakyat di kawasan setempat

11:00 AM MYT

 

KLANG – Selebriti yang juga ikon fesyen, Wak Doyok mahu sesiapa juga yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Selat Klang akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin, dengan menjadikan kebajikan penduduk sebagai matlamat utama.

Wak Doyok yang berasal dari kawasan berkenaan berkata, sebagai seorang yang diberikan tugas untuk mewakili rakyat, seorang Adun harus mementingkan kebajikan rakyat di kawasan setempat.

“Paling penting adalah menjaga kebajikan penduduk di kawasan ini. Bukan sekadar menang undi, tapi ‘hilang’ lima tahun. YB (Yang Berhormat) yang bertugas perlu bekerja untuk membasmi kemiskinan, bantuan untuk ibu-ibu tunggal, anak yatim, asnaf dan sebagainya. Jangan biar pihak masjid sahaja yang buat. Perlu minta peruntukan yang disediakan oleh kerajaan untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan di sini. Kalau bantuan zakat itu lain,” katanya kepada Scoop.

Wak Doyok berkata, wakil rakyat kena rajin turun padang dan tanya bagaimana pendidikan anak-anak ini di mana mereka bersekolah dan sebagainya – Gambar Scoop, 5 Ogos, 2023

Wak Doyok turut mencadangkan agar wakil rakyat di kawasan ini berkerjasama dengan pasar raya terdekat untuk menyediakan kad bantuan kredit kepada keluarga yang memerlukan bagi membeli barang keperluas asas setiap bulan.

“Kita tak boleh berterusan beri bantuan makanan kerana mereka juga memerlukan barangan lain seperti lampin pakai buang anak, susu dan sebagainya. Jika ada kad bantuan seperti ini, ia akan membantu mereka untuk membeli apa yang patut,” kata pelakon filem Abang Long Fadil 2 ini lagi.

“YB kena rajin turun padang dan tanya bagaimana pendidikan anak-anak ini di mana mereka bersekolah dan sebagainya. Kita takut, kalau kita tak jaga pendidikan anak-anak dari keluarga susah ini, kita tak boleh nak putuskan rantaian kemiskinan. Melalui pendidikanlah mereka boleh menaikkan taraf hidup mereka apabila dewasa nanti. YB perlu membantu mereka ini untuk dapatkan biasiswa pendidikan,” jelasnya.

Menyedari infrastruktur di kawasan sekitar kampung di sini masih belum memuaskan, Wak Doyok menggesa agar perkara ini turut dititikberatkan oleh wakil rakyat yang akan dipilih nanti.

Wak Doyok menggesa agar masalah infrastruktur turut dititikberatkan oleh wakil rakyat yang akan dipilih nanti – Gambar Scoop, 5 Ogos, 2023

“Saya lihat pengurusan sampah di sini sangat tidak memuaskan. Banyak sampah terbiar di tepi jalan yang merosakkan pandangan mata sekali gus menimbulkan perasaan kurang selesa dengan persekitaran yang kotor dan berbau busuk.

“Jika di masjid, tok ketua akan memberitahu penduduk kampung agar membuang sampah pada waktu malam kerana lori sampah akan kutip pada pukul 3 pagi. Amalan ini dapat mengurangkan bau busuk serta sampah yang tidak terurus. Saya harap YB boleh menggunakan cara yang sama juga untuk memberitahu kepada penduduk di kawasan ini untuk melakukan amalan yang sama.

“Tong sampah juga perlu disediakan agar sampah-sampah tidak bergelimpangan dan ditarik oleh anjing. Saya juga pernah nampak ada yang punggah sampah-sampah itu untuk mencari barang-barang seperti kotak, tin dan sebagainya kemudian dibiarkan berselerak. Lebih baik jika dibina tembok dan diletakkan dua tong sampah agar sampah-sampah ini lebih terurus,” katanya.

Jalan di sekitar kawasan ini sering sesak terutama ketika waktu keluar dan pulang dari kerja, justeru laluan alternatif perlu dibina – Gambar Scoop, 5 Ogos, 2023

Kata Wak Doyok lagi, selain sampah, longkang-longkang di kawasan sekitar juga perlu dibersihkan kerana longkang tersumbat merupakan salah satu punca banjir di sini.

Selain itu, kepadatan penduduk di Klang juga membuatkan jalan di sekitar kawasan ini sering sesak terutama ketika waktu keluar dan pulang dari kerja, justeru laluan alternatif perlu dibina.

“Inilah harapan saya untuk kampung saya di masa akan datang. Saya harap YB yang diberikan mandat untuk mewakili rakyat akan menjalankan tanggungjawab sebaiknya. Pejabat kena sentiasa buka, jangan asyik tutup sahaja.

“YB pun kena rajin turun padang untuk tahu apa masalah penduduk dan ambil tindakan. Jangan dah menang lepas tu hilangkan diri dan tak buat kerja.

“Waktu pandemik yang lalu langsung tak nampak muka. Muka hanya ada di papan tanda menjelang pilihan raya sahaja. Lepas tu hilang sampai orang tak kenal siapa YB mereka,” katanya. – 5 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

In latest book ‘Saving the Planet’, Nik Nazmi makes urgent call for climate action

New book offers a Malaysian perspective on the global environmental crisis, highlighting economic and social stakes of climate change

Sports budget allocation: is popularity winning over performance in 2025 funding?

As RM15 million goes to football and RM20 million to e-sports, critics question whether funding priorities reflect merit or strong networks in Malaysian sports

Related