Kecaman netizen tidak lemahkan semangat Baddrol, ‘saya jadi coach, Sanusi pengurus…’

Kecaman dan cercaan netizen tidak menjejaskan usahanya dalam meneruskan kempen Pilihan Raya Negeri

11:36 AM MYT

 

GURUN – Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar menyifatkan komen negatif diterima termasuk tidak sesuai menceburi dunia politik dan lebih baik menjadi jurulatih bola sepak, tidak langsung melemahkan semangatnya untuk terus berkempen.

Bekas kapten pasukan bola sepak Kedah itu berkata, kecaman dan cercaan netizen tidak menjejaskan usahanya dalam meneruskan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berbaki lebih seminggu lagi sebelum hari pengundian pada 12 Ogos ini.

Beliau secara berseloroh menganggap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pengurusnya, yang menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang dalam dunia politik.

“Saya jadi ‘coach’, ini (Sanusi) manager (pengurus)… (kecaman) itu tidak melemahkan semangat saya,” katanya kepada pemberita selepas Program Santai Petang bersama Panglima dan Kapten BN7 di Medan Gurun jaya di sini, semalam.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai jawapan dikemukakan Baddrol ketika disoal media mengenai manifestonya untuk pengundi Gurun selain perkongsian maklumat latar belakangnya yang lebih menekankan pengalaman dan pencapaian dalam sukan bola sepak berbanding pendidikan.

Ditanya penjalanan kempen yang memasuki hari keenam, Baddrol mengakui ia berjalan lancar dan disambut baik penyokong daripada pelbagai peringkat usia.

“Alhamdulillah kempen saya begitu lancar dan seronok, saya dapat dekat dengan rakyat dan harap selepas ini akan dekat lagi untuk mendengar masalah mereka.

“Penerimaan positif dan saya harapkan mereka sokong serta terus memberikan semangat. Saya pun dapat memberi sesuatu untuk rakyat khususnya di DUN Gurun,” katanya.

Pada PRN kali ini, DUN Gurun menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Baddrol yang mewakili Perikatan Nasional (PH) menentang Mohammed Fidaus Johari mewakili gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi DUN Gurun dimenangi bapa Mohammed Firdaus, Tan Sri Johari Abdul (PKR) dengan majoriti 4,207 undi, mengalahkan tiga calon lain dari Barisan Nasional (BN), PAS dan Bebas. – 4 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

A modern mufti: Anwar Ibrahim’s vision of Islamic leadership – Tuan Muda 

The prime minister needs the right candidate to journey with him on his reform agenda 

Related