KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menafikan dakwaan bahawa azan tidak berkumandang di Pulau Pinang.
Menjelaskan dakwaan dibuat pihak tertentu itu, beliau mengatakan ia tidak berasas kerana azan sememangnya dilaungkan di negeri berkenaan.
Timbalan Menteri Kewangan II itu juga mempertikaikan sama ada pihak yang melontarkan dakwaan terbabit sebenarnya ‘terlepas pandang’.
“Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bagitahu saya, di Malaysia ini ada dua negeri yang azan Subuh berkumandang dua kali. Satu di Perlis dan satu lagi di Pulau Pinang.
“Yang kata tidak ada azan (di Pulau Pinang), mereka tak dengar, sebab apa? Sebab tidak bangun Subuh atau dia tidak mandi wajib,” katanya tersenyum.
Kenyataan Steven itu disambut dengan derai tawa penonton yang terdiri dalam kalangan Melayu.
Sedutan ceramah Steven itu turut dimuatnaik di platform TikTok miliknya dan menerima jumlah tontonan tinggi serta menerima pelbagai komen daripada netizen.
Rata-rata mereka bersetuju dengan kenyataan Steven dan tidak kurang juga yang menganggap apa diperkatakan itu sebagai pedih, tetapi pada waktu sama lucu.
Steven adalah seorang daripada wakil rakyat berbangsa Cina yang sering menerima pujian kerana kefasihannya bertutur dalam bahasa kebangsaan.
Malah, bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu mempunyai hubungan mesra dengan masyarakat Melayu, selain dilihat sering membantu golongan berkenaan dan memahami adat budaya mereka. – 3 Ogos, 2023