KUALA LUMPUR – Umno menyifatkan PAS sebagai parti paling banyak melakukan perceraian politik dan kerap mengkhianati rakan dalam gabungan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mendakwa ianya terbukti kerana PAS pernah meninggalkan Semangat 46, Pakatan Rakyat dan DAP.
“Kalau kahwin politik dengan PAS, mesti berakhir dengan perceraian. PAS paling banyak melakukan perceraian politik.
“(Datuk Seri) Tuan Ibrahim (Tuan Man) tuduh Umno akan khianati kawannya apabila parti itu semakin berkuasa. PAS buka pekung sendiri,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dakwanya lagi, PAS juga menandatangani piagam Muafakat Nasional (MN) dengan Umno dan pada masa sama menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Maka siapa khianat siapa? Tuan Ibrahim bagi contoh Perak. Dia kata Umno jatuhkan Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) untuk jawatan Menteri Besar.
“Tidakkah PAS terlibat? Kenapa tidak sentuh Kedah. (Datuk Seri) Mukriz Mahathir jatuh dan PAS dapat jawatan Menteri Besar,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit menemplak Tuan Ibrahim kerana memberi amaran bahawa Umno akan mengkhianti kawan sendiri apabila parti itu semakin berkuasa.
“Tuan Ibrahim kecam Umno kerana tarik sokongan dari (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin). PAS suka Muhyiddin bunuh UMNO. PAS akan jadi parti Melayu tunggal. Ada udang di sebalik batu,” katanya.
Semasa ceramah di Negeri Sembilan, Isnin lalu, Tuan Ibrahim memberi contoh Umno menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu ketika menjadi Perdana Menteri dan Peja sebagai Menteri Besar Perak.
“Umno dia tak boleh menang, kalau dia menang, dia naik tocang. Bila rasa kuat, dia mula tendang kawan. Di Perak dia tarik sokongan, undi tak percaya pada Peja daripada Bersatu, akhirnya tukar (menteri besar) kepada Umno.
“Di Persekutuan, tarik sokongan pada Muhyiddin, padahal kita duduk dalam Kabinet sama, bincang sama-sama. Waktu susah kita hadapi (bersama), bila senang 15 orang (ahli Parlimen) tarik sokongan pada Muhyiddin,” katanya. – 3 Ogos, 2023