SUNGAI PETANI – Ahli perniagaan Indonesia, Riza Chalid yang dikaitkan dengan bidaan mendapatkan hak perlombongan galian di Kedah hanya menemani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kunjungan hormat dan menghadap Sultan Kedah sebelum ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, Perdana Menteri sememangnya mengenali jutawan minyak petroleum itu.
Beliau menjelaskan, selepas pertemuan itu, kedua-duanya pulang dan Riza tidak berjumpa sesiapa untuk membuat permohonan aktiviti penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
“Sebenarnya beliau (Riza) datang ke Kedah untuk menemani Datuk Seri Anwar buat kunjung hormat ke atas Tuanku Sultan Kedah. Itu sahaja, lepas itu beliau balik.
“Saya sendiri tanya Datuk Seri Anwar tadi sebelum mai (datang) ceramah ini, saya kata Datuk Seri kena jawab sikit. Datuk Seri pasti bahawa Datuk Seri tak ada jumpa dengan Sanusi (Menteri Besar), beliau kata tak. Perjumpaan itu berlaku di istana dan Sanusi pun tak dak (tiada),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berkempen di Ceramah Kelompok Pakatan Harapan (PH) di Taman Delima di sini, malam tadi.
Petang semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui tidak pernah bertemu dengan Riza yang dikaitkan dengan bidaan mendapatkan hak perlombongan galian di negeri itu.
Kelmarin, beliau mendedahkan Riza pernah datang ke Kedah ditemani Anwar untuk memohon kawasan lombong REE.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kenyataan Sanusi itu juga dilihat cubaan mengalih isu membabitkan seorang warga China, So Loi Fat berkait isu REE.
“Itu percubaan untuk mengalih tetapi gagallah, lagipun Riza ahli perniagaan yang mahsyur di Indonesia. Tiada kaitan dengan REE dan Sanusi kena ada bukti bila sebut.
“Macam saya, ada dokumen (bukti) yang menunjukkan Sanusi bantu dari segi dokumen Imigresen. Dalam surat tu tertera nama So Lai Fat dan Huang Zhiyi, saya tunjuk bukti, dia (Sanusi) kata tak kenal, saya tunjuk gambar.
“Itu maksudnya bila kita buat kenyataan mesti backup (disokong) dengan buktilah. Dia keluar kenyataan tak dak bukti tak dak apa, jadi saya fikir itu adalah keadaan terdesak dia untuk mengekalkan sokongan (orang) PAS,” katanya.
Tambah Saifuddin, beliau akan mengemukakan bukti-bukti baharu mengenai kecurian REE di Bukit Enggang, Sik pada sidang media di Jitra, hari ini. – 3 Ogos 2023