KUALA LUMPUR – Umno pernah berjuang dan berdepan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan kantung yang kosong selepas akaun parti berkenaan dibekukan namun pemimpin dan ahlinya tetap berjuang dan tidak mengeluh.
Semua dugaan itu, kata Ketua Umno bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed diharungi dengan tabah dan akhirnya parti tersebut dapat memenangi lima daripada lapan PRK yang diadakan sepanjang 2019 hingga 2020.
Kini, katanya giliran Bersatu dan PAS pula merasakan pedih serta sakitnya apabila berlaku kepada parti berkenaan selepas akaun Bersatu dibekukan sejak awal tahun ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Akaun Umno pernah dibekukan sebagai siasatan SPRM ke atas Presiden Umno dalam kes 1MDB. Tapi akhirnya memang tiada kaitan Umno dalam kes berkenaan.
“Biarlah Muhyiddin (presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin) mencari jalan untuk memperkudakan PAS sepanjang PRN ini. Yalah, Bersatu pun bukannya ada jentera kempen, semuanya mereka harapkan walaun-walaun PAS untuk membuat kerja kempen calon PN, terutama calon Bersatu,’’ kata Jazlan menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini yang tidak semeriah PRU-15 apabila PN tidak lagi berkempen besar-besaran malah perang poster dan konten di dalam media sosial juga berkurang serta sendu.
Akaun Bersatu telah dibekukan bagi membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram dan siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Mengulas lanjut Jazlan berkata beliau berasa kasihan apabila mendengar kenyataan Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir yang menyatakan bahawa calon-calon PN terpaksa bersengkang mata mencari dana sendiri untuk berkempen.
“Roslan berkata masalah kewangan PN berlaku disebabkan akaun Bersatu kena beku sampaikan sekutu PAS itu tidak boleh lagi beri duit belanja besar.
“Jadi benarlah cerita-cerita sebelum ini yang dakwa Bersatu memang jadi banker kepada PAS. Patutlah sejak PAS jalinkan hubungan dengan Bersatu dulu mereka dilihat hidup mewah.
“PAS pun saya dengar cerita dah mula balik tadah tabung tin milo yang bertahun-tahun mereka simpan dalam gobok. Bila sugardaddy Muhyiddin dah tak ada duit, maka Adinda Hadi kenalah kembali minta sedekah untuk sara diri dan keluarga. Nasib badan la nakkkk!,’’ tulisnya dalam Facebook.
Justeru Jazlan menyifatkan semua yang berlaku itu sebagai kifarah atau hukum karma kepada Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengenakan pelbagai dakwaan serta siasatan terpilih ke atas Umno dan kini akhirnya berbalik kepada mereka. – 2 Ogos, 2023