KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa sudah hilang lebih 70 peratus kekuatan jenteranya selepas meninggalkan PKR.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, susulan itu beliau kini hanya bergantung kepada jentera PAS untuk berkempen.
“Selepas tewas (Parlimen Gombak), saya jangkakan dengan beberapa isu setempat beliau sudah hampir hilang keseluruhan jentera di bawah pimpinannya di Gombak.
“Jadi sekarang beliau hanya bergantung dengan jentera PAS,” katanya seperti dilaporkan BH.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran pecah tanah Idaman Cahaya di Shah Alam, hari ini.
Terdahulu, PN mempertaruhkan Azmin di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.
Beliau akan dicabar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.
Mengulas lanjut, Amirudin percaya pertembungan di kerusi Hulu Kelang pasti sengit dan Azmin akan berdepan laluan sukar memandangkan Juwairiya merupakan calon anak tempatan.
“Kita yakin dengan Juwairiya, anak tempatan yang lahir, membesar dan bersekolah di Hulu Kelang. Azmin turut membesar di sana walaupun tidak dilahirkan di sana.
“Jadi saya percaya akan ada satu persaingan sihat dan sengit. Kita harap akan mencapai kemenangan menerusi beberapa pendekatan kita,” katanya. – 28 Julai, 2023