KUALA LUMPUR – “Saya telah difitnah dan dikaitkan dengan kumpulan ‘pengkhianat’ PKR hingga dicaci dan seolah-olah dipulaukan. Justeru saya yakin kemungkinan pemilihan saya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang adalah selepas presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) melihat cabaran yang saya lalui itu.
“Ia juga merupakan satu amanah dari parti,’’ kata Juwairiya Zulkifli ketika mengulas mengenai pemilihannya sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Melawati berkata perbuatan pengkhianatan itu juga merupakan isyarat jelas kepada rakyat bahawa mereka perlu menolak sesiapa sahaja yang mengkhianati perjuangan parti.
Langkah Sheraton pada 24 Februari 2020 menyaksikan 11 Ahli Parlimen diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar parti.
Juwairiya yang merupakan Timbalan Ketua Wanita PKR akan dicabar oleh Azmin yang menjadi calon Perikatan Nasional (PN) di DUN berkenaan.
Mengulas mengenai pencalonan tersebut, beliau berkata, cabaran bagi kerusi DUN itu cukup besar dan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengambil sambil lewa pada PRN nanti.
“Secara tradisinya, keseluruhan DUN di Parlimen Gombak sudah dimiliki PH selama tiga penggal, namun perubahan landskap politik di peringkat persekutuan akan memberi kesan kepada politik di negeri.
“Yang penting semua pihak jangan bersikap selesa kerana Azmin juga anak tempatan,” katanya kepada Scoop.
Tegas beliau, pemilihan setiap calon adalah strategi serta perancangan yang dilakukan menerusi penelitian dan difikirkan terbaik untuk Pakatan Harapan (PH).
Juwairiya mengambil alih kerusi yang disandang Saari Sungib dari Amanah. Saari yang merupakan penyandang kerusi tersebut selama tiga penggal berturut-turut mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi itu kerana masalah kesihatan. – 27 Julai, 2023