KUALA LUMPUR – Walau apa sahaja keputusan dibuat kerajaan berhubung ‘nasib’ penjawat awam, golongan itu akan terus kekal memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, penjawat awam juga akan menjadi pemudah cara terbaik dalam pemulihan ekonomi negara, selaras dengan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan semula ekonomi negara.
“Dalam hal ini (memulihkan semula ekonomi negara), penjawat awam akan bersama-sama dengan kepimpinan Perdana Menteri untuk meletakkan semula Malaysia di landasan betul dalam melaksanakan strategi pemulihan ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan.
Adnan berkata demikian ketika mengulas berhubung pengumuman Perdana Menteri ketika memberikan ucapan dan soal jawab bersama warga pendidik di Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian di sini, hari ini bahawa beliau akan mengumumkan beberapa pelarasan imbuhan tetap kepada penjawat awam dalam tempoh seminggu dua lagi.
Menyambut baik keprihatinan Perdana Menteri dalam menyemak semula skim gaji perkhidmatan awam dan elaun diterima penjawat awam ketika ini, Adnan memaklumkan, pada 18 Julai lalu, CUEPACS mengadakan pertemuan bersama Anwar serta diberi kesempatan untuk memberi pandangan dalam soal penyelarasan berhubung perkara itu.
Katanya, antara perkara dicadang CUEPACS kepada Perdana Menteri adalah meningkatkan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) sebanyak RM100 kepada penjawat awam.
![](https://www.scoop.my/canon/uploads/2023/07/Datuk-Adnan-Mat-1-1024x562.jpg)
“Ketika ini elaun ITKA paling rendah diterima penjawat awam ialah RM95 dan kenaikan terbabit akan menjadikan elaun itu diselaraskan bermula RM195. Kadar semasa diterima adalah kadar lama dan dilaksanakan sejak 1 Januari 2007,” katanya.
Pada pertemuan sama, Adnan berkata, selaras dengan kenaikan kos sara hidup, CUEPACS berpandangan ia wajar diselaras semula.
“Begitu juga dalam soal elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) penjawat awam yang diterima mengikut kawasan mereka bekerja. Penjawat awam yang menduduki kuarters kerajaan hanya akan dibayar 50 peratus daripada kadar COLA sepatutnya.
“CUEPACS mencadangkan agar elaun COLA penjawat awam yang menduduki kuarters kerajaan dibayar penuh 100 peratus, memandangkan elaun Imbuhan Tetap Perumahan sudah dipotong. Perkara ini sedikit sebanyak meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam itu sendiri dalam mengharungi kos sara hidup semasa,” katanya.
“CUEPACS memberi jaminan kesungguhan Perdana Menteri pasti akan diterjemahkan dengan kualiti perkhidmatan terbaik oleh warga perkhidmatan awam. Malah, pengumuman Perdana Menteri untuk membuat pelarasan semula imbuhan tetap diterima penjawat awam dalam masa terdekat, membuktikan beliau sentiasa melaksanakan apa diperkatakan,” katanya. – 24 Julai , 2023