KOTA BHARU – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan beberapa imbuhan tetap kepada penjawat awam dalam tempoh seminggu dua lagi.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat pengurusan pertama pelarasan skim gaji itu minggu depan.
“Saya fikir pendekatan lama skim pelarasan gaji perlu dirombak, tunggu pengumuman dan sedikit penyesuaian dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cakna MADANI Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Pada 13 Julai lepas, Perdana Menteri berkata skim gaji penjawat awam akan disaran dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaaan ekonomi negara dan cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamad sebelum Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos ini. – 23 Julai, 2023