Peniaga kecil didakwa peroleh untung ‘cukup-cukup makan’, bank amal birokrasi?

Ada penjaja yang memperolehi pendapatan MR100 sahaja sehari, berbanding sebelum negara dilanda COVID-19.

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sudahlah umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, keuntungan harian diperoleh juga adakala kurang daripada RM100 atau ‘cukup-cukup makan’.

Itu nasib dialami penjaja dan peniaga kecil ketika ini yang sukar mengembangkan perniagaan bagi meningkatkan pendapatan, dek didakwa berdepan kekangan birokrasi untuk mendapatkan pinjaman daripada bank dan agensi kerajaan.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman ketika mendedahkannya berkata, pihaknya menyedari kesukaran penggiat bidang perniagaan, khususnya penjaja dan peniaga kecil untuk memperoleh keuntungan keseluruhan di antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan pada masa ini, berbanding sebelum negara dilanda pandemik COVID-19.

“Hasil perbincangan saya dengan pihak bank tertentu mendapati institusi kewangan terbabit memerlukan dokumen lengkap daripada peniaga dan penjaja kecil, seperti mempunyai lesen penjaja daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Peniaga dan penjaja kecil ini juga perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan perniagaan itu sudah beroperasi bagi membuktikan mereka memang berniaga.

“Semua dokumen ini diperlukan pihak bank untuk membolehkan peniaga dan penjaja kecil membuat permohonan serta memenuhi syarat ditetapkan, seterusnya melayakkan mereka mendapatkan pinjaman,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Scoop sebelum ini menerima keluhan daripada peniaga dan penjaja kecil yang kecewa apabila beberapa permohonan untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan tertentu tidak berjaya.

Mereka mendakwa terpaksa berdepan dengan karenah birokrasi ketika dalam proses memohon pinjaman, dengan pelbagai syarat dikenakan sedangkan peniaga kecil ini memerlukan pembiayaan untuk meneruskan perniagaan.

Bagaimanapun, Rosli berkata, bagi mengatakan institusi kewangan mengamalkan karenah birokrasi sehingga menyebabkan peniaga dan penjaja kecil sukar mendapatkan pinjaman perniagaan, ia agak tidak tepat.

“Keperluan pelbagai syarat ketat dilaksanakan bank swasta atau agensi kewangan milik kerajaan adalah bagi menjamin peniaga mampu membayar semula pinjaman tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, susulan situasi sukar dialami peniaga dan penjaja kecil itu, pihaknya menyeru agar mereka mendaftar sebagai ahli In2Niaga Sdn Bhd (IN2NIAGA), memandangkan ia bukan sahaja menawarkan skim perlindungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), malah urusan pinjaman boleh dibuat dengan lebih mudah.

“Kita juga sedang berusaha untuk membangunkan sistem agar IN2NIAGA boleh membuat pembayaran secara automatik dahulu kepada bank. Dengan cara ini, peniaga dan penjaja kecil tidak perlu pening kepala dan hanya berusaha sebaiknya untuk menjalankan perniagaan seperti biasa,” katanya. – 23 Julai, 2023

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Tennis star Kyrgios enjoys Raya with family in Malaysia

Born Nick Hilmy Kyrgios, he boasts Malaysian heritage through his mother, Norlaila – affectionately known as Nil. 

Malaysia’s new social media regulatory framework: What you need to know

New rules aim to curb cybercrime and online harm, individual users not affected

Related