KUALA LUMPUR – Malayan Banking Berhad (Maybank) tampil menjawab persoalan dikemukakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berhubung dakwaan institusi kewangan itu memburukkan kerajaan di mata pelabur.
Menerusi kenyataannya hari ini, Maybank berjanji akan menyiasat lebih lanjut mengenai isu diajukan itu.
“Hai Isham Jalil, salam sejahtera. Terima kasih kerana memaklumkan kami dan pasti kami akan menyiasat lebih lanjut mengenai isu yang anda mengajukan. Terima kasih,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Isham menerusi entri Facebook mempersoalkan tindakan Maybank yang didakwa memburukkan kerajaan menerusi emel yang dihantar kepada pelabur.
“Betulkah Maybank tulis macam ini dan hantar email ini meluas kepada pelabur-pelabur? Kalau betul, saya rasa tidak sepatutnya mereka tulis macam ini,” katanya.
Malah, menurutnya, tindakan berkenaan tidak membantu ketika kerajaan mahu menaikkan keyakinan pelabur asing.
”Pada saya, kita boleh kritik (dan saya salah seorang yang selalu kuat kritik kerajaan dan juga pembangkang), namun usah burukkan negara sendiri di mata orang luar serta pelabur asing.
“Ini tidak baik. Kita tidak perlu menipu untuk menegur, pada masa yang sama kita tidak perlu memburukkan diri atau negara sendiri,” katanya.
Beliau turut memuatnaik emel Maybank berkenaan dan antara kandungannya:
”2023 pastinya merupakan tahun yang mencabar untuk melabur setakat ini. Sentimen politik positif daripada penubuhan kerajaan tahun lalu tidak berterusan ke tahun baharu. Dasar PM Anwar yang belum jelas dan ketidaktentuan dalam kestabilan kuasa juga membawa kepada kebimbangan pasaran.
Mengulas mengenai respon Maybank, Isham berterima kasih kepada pihak institusi kewangan itu, namun tetap berpendirian setiap kritikan dibuat mana-mana rakyat Malaysia tidak sepatutnya memburukkan tanah air sendiri.
“Pada saya, kita boleh kritik (dan saya salah seorang yang selalu kuat kritik kerajaan dan juga pembangkang), namun usah burukkan negara sendiri di mata orang luar dan pelabur asing. Ini tidak baik. “Kita tidak perlu menipu untuk menegur, pada masa yang sama kita tidak perlu memburukkan diri atau negara sendiri. Bersama majukan Malaysia,” katanya. – 23 Julai, 2023