PAS gesa audit forensik ke atas Ahli Parlimen kerajaan

Tindakan kerajaan yang memilih kasih dalam soal peruntukan ini semakin menunjukkan ketidaktelusan dan kejanggalan dalam dasar mereka, kata Fadhli

4:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR Audit forensik yang menyeluruh perlu dijalankan terhadap peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan, kata Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari.

Menurutnya, Ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan sebanyak RM1.7 juta setahun bagi tempoh 2023 hingga 2024, berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada 13 Februari tahun lepas.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kerajaan perlu memastikan tiada sebarang ketirisan berlaku memandangkan peruntukan berkenaan merupakan satu jumlah yang besar dan memerlukan ketelusan dalam pengurusan.

Fadhli merujuk kepada penahanan dua individu termasuk bekas pegawai khas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini, kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan membantu meluluskan dana projek mesra rakyat.

“Alangkah janggalnya apabila Ahli Parlimen pembangkang dinafikan peruntukan dengan alasan kononnya mereka mungkin menyalahgunakan dana, sedangkan dalam kes ini, yang terbukti didakwa berlaku penyelewengan adalah dalam pengagihan peruntukan Ahli Parlimen kerajaan sendiri.

“Tindakan kerajaan yang memilih kasih dalam soal peruntukan ini semakin menunjukkan ketidaktelusan dan kejanggalan dalam dasar mereka.

“Rakyat berhak mengetahui ke mana wang mereka disalurkan dan kerajaan mesti bertanggungjawab memastikan setiap sen digunakan dengan betul,’’ katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Pada Khamis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua bekas pengawai Teresa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan bagi meluluskan dana Projek Mesra Rakyat.

Bagaimanapun bekas pegawainya, Edmund Teoh dalam kenyataan hari ini menafikan dakwaan tersebut dan mengesahkan dia dibebaskan oleh SPRM pada Ahad dan tiada pertuduhan difailkan terhadapnya.

Dalam pada itu, Fadhli memberitahu, jika kerajaan mengutamakan ketelusan dan integriti, audit forensik ke atas peruntukan Ahli Parlimen kerajaan harus menjadi keutamaan sekarang.

“Audit forensik ini lebih perlu dilakukan terhadap Ahli-Ahli Parlimen yang juga memegang jawatan sebagai menteri. Mereka sudah tentu sibuk menguruskan tugasan di kementerian masing-masing dan kerap kali perlu keluar negara untuk mencari pelabur serta menjalankan tugas rasmi kerajaan.

“Dengan beban tugas yang tinggi, mereka pastinya tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk memberi tumpuan kepada pengurusan peruntukan yang mereka terima sebagai Ahli Parlimen,’’ katanya.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan risiko berlaku ketirisan dan salah guna dana lebih tinggi dalam kalangan mereka, menjadikan audit ini satu keperluan mendesak bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan kerajaan. – 14 Mac, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related