Kenapa pengendali ERA FM didenda lebih tinggi dari Harith Iskander dan Cecelia Yap? MCMC beri penjelasan

Jelas Suruhanjaya itu, Maestra Broadcast didenda RM250,000 berdasarkan kepada tanggungjawab korporat, undang-undang terkini manakala kompaun ke atas individu itu dibuat mengikut undang-undang sebelum ini

3:32 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memberikan penjelasan berhubung kebimbangan ramai terhadap denda yang dikenakan ke atas Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali ERA FM, termasuk individu yang terlibat dalam kontroversi dalam media sosial.

Keputusan suruhanjaya itu untuk mengenakan kompaun sebanyak RM250,000 kepada Maestra Broadcast — lebih tinggi daripada denda RM10,000 yang dikenakan ke atas pelawak Harith Iskander dan pengguna Facebook Cecelia Yap—mencetuskan perdebatan, dengan ramai yang mempersoalkan rasional di sebalik perbezaan berkenaan.

Bagaimanapun, dalam Soalan-Soalan Lazim (FAQ) yang dikeluarkan hari ini, MCMC menegaskan keputusannya dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang, masa berlakunya kesalahan dan tahap kesalahan setiap kes.

Siapa yang dikompaun dan kenapa?

Terdapat kekeliruan mengenai denda RM250,000 dengan ramai yang tersalah anggap ia dikenakan ke atas Era FM sendiri.

Sebenarnya, denda itu dikenakan ke atas Maestra Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MBNS), sebuah anak syarikat Astro yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Penalti ini ditetapkan dengan kelulusan timbalan pendakwa raya dan berdasarkan pindaan terbaru Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025. Di bawah pindaan itu, hukuman denda maksimum adalah RM500,000.

Sementara itu, Harith dan Yap masing-masing dikenakan denda RM10,000 bagi kesalahan berasingan yang melibatkan kandungan berkaitan Islam. Kesalahan diambil berdasarkan peruntukan sebelum pindaan tersebut berkuat kuasa, menyebabkan penalti mereka tertakluk kepada denda maksimum sebelum ini iaitu RM50,000, jelasnya.

Penyampai Era FM memohon maaf atas tindakan mereka dalam video yang didakwa mempersendakan upacara agama Hindu. – Gambar tangkap layar, 12 Mac 2025

Kenapa Maestra Broadcast dikenakan kompaun RM250,000?

Pada 4 Mac, MCMC mengumumkan telah memulakan siasatan terhadap Maestra Broadcast selepas menerima aduan mengenai video yang didakwa menghina agama Hindu, yang telah dimuat naik ke akaun TikTok rasmi ERA FM (@era.je).

Memandangkan syarikat itu bertanggungjawab terhadap kandungan di platformnya, ia didapati melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kes ini kemudian dirujuk ke Jabatan Peguam Negara, yang menentukan bahawa denda adalah tindakan yang sesuai. Memandangkan keseriusan kesalahan itu serta potensinya untuk mencetuskan ketegangan kaum dan agama, syarikat itu dikenakan denda sebanyak RM250,000, menurut MCMC dalam dokumen FAQ mereka.

Denda tersebut mencerminkan pindaan baharu dengan hukuman maksimum kepada RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya—menunjukkan usaha kerajaan untuk memastikan syarikat bertanggungjawab terhadap pelanggaran yang melibatkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Bagaimana kompaun ditentukan?

Selepas insiden tersebut, pihak pengurusan tertinggi Maestra Broadcast Sdn Bhd telah dipanggil oleh MCMC untuk memberikan penjelasan.

“Pihak Maestra Broadcast Sdn Bhd juga dinasihatkan untuk memastikan kawalan kandungan yang ketat, pematuhan kepada garis panduan kandungan dan latihan berterusan kepada kakitangan untuk mengelakkan pelanggaran undang-undang.

Setelah mengambil kira kandungan tersebut melibatkan isu kepentingan awam yang telah mewujudkan ketidaktenteraman antara kaum dan agama, kompaun sebanyak RM250,000 telah ditetapkan terhadap syarikat berkenaan.

MCMC membuat kesimpulan denda tersebut adalah wajar berdasarkan potensi untuk mencetuskan ketegangan, tanggungjawab korporat syarikat serta hukuman yang telah diperketatkan di bawah undang-undang yang dipinda.

Kenapa lesen Maestra Broadcast tidak digantung?

MCMC telah mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen namun memutuskan untuk tidak berbuat demikian. Langkah syarikat itu yang melakukan tindakan pembetulan segera termasuk penghujahan bertulis, permohonan maaf secara terbuka dan memadamkan kandungan berkenaan – memainkan peranan dalam pertimbangan keputusan, kata MCMC.

Suruhanjaya itu juga menyatakan penggantungan lesen akan memberikan kesan kepada stesen radio lain di bawah lesen yang sama iaitu Melody FM dan Mix FM, yang tidak terlibat dengan kontroversi berkenaan.

Pelawak Harith Iskander (gambar) dan Cecelia Yap masing-masing didenda RM10,000 atas kesalahan berasingan berkaitan kandungan yang melibatkan agama Islam. Pelanggaran mereka berlaku sebelum pindaan berkuat kuasa, bermakna penalti mereka adalah berdasarkan denda maksimum RM50,000 sebelum ini, jelas MCMC. – Gambar Facebook @harithiskander, 12 Mac 2025

Kenapa denda ke atas Harith Iskander dan Cecelia Yap berbeza?

Bagi kes yang melibatkan Harith Iskander dan Cecelia Yap yang telah memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook pada 18 Januari 2025, kompaun RM10,000 telah dikenakan oleh MCMC.

Tindakan ini diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025, di mana denda maksimum adalah RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Walaupun Maestra Broadcast dikenakan penalti di bawah rangka kerja undang-undang yang dikemas kini, Harith dan Yap didenda berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa pada waktu kesalahan mereka dilakukan.

Sebelum 11 Februari 2025, denda maksimum di bawah Seksyen 233 adalah RM50,000, yang menjelaskan mengapa hukuman mereka lebih rendah.

Selain itu, Meta telah pun menghapuskan kandungan yang menyinggung sebelum sebarang permintaan rasmi untuk menurunkannya dibuat.

Pendirian MCMC: Tidak berat sebelah, hanya berdasarkan undang-undang

FAQ MCMC menegaskan keputusan yang dibuat adalah berdasarkan garis panduan undang-undang, tahap kesalahan serta perbezaan antara tanggungjawab korporat dan individu.

Maestra Broadcast dikenakan denda lebih tinggi kerana sebagai entiti korporat, ia memikul tanggungjawab awam yang lebih besar terhadap kandungannya.

Sementara itu, Harith Iskander dan Cecelia Yap didenda mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa pada masa kesalahan mereka dilakukan. – 12 Mac, 2025

Topics

 

Hangat

Kuala Lumpur location for Marvel superhero film Thunderbolts

Florence Pugh was in Malaysia and shot scenes in Medan Pasar, Merdeka 118

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related