KUALA LUMPUR – Digital Nasional Bhd (DNB) dan Ericsson hari ini mengumumkan perkongsian strategik untuk mempercepat transformasi digital Malaysia melalui teknologi 5G dan “5G-Advanced”.
Kedua-dua pihak menjelaskan kerjasama itu bertujuan menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju digital global di samping memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi merentas pelbagai industri.
“Perkongsian yang diformalkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) itu akan menumpukan kepada memajukan pendigitalan perusahaan, meningkatkan kesalinghubungan dan memupuk inovasi.
“Melalui usaha memperluas liputan 5G dan ‘5G-Advanced’, DNB dan Ericsson giat untuk memperkukuh infrastruktur digital Malaysia dan membolehkan penggunaan teknologi dunia sebenar,” menurut DNB dan Ericsson dalam kenyataan bersama pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, perkongsian tersebut akan meningkatkan kesalinghubungan “5G-Advanced” dalam zon perindustrian dan kawasan strategik sekali gus menyokong pendigitalan perusahaan.
Perkongsian itu juga akan memupuk inovasi dengan mengembangkan ekosistem rangkaian Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) global yang akan membolehkan pembangun menyepadukan fungsian daripada penggunaan lain, memudahkan dan mempercepat proses pembangunan.
Perkongsian DNB dan Ericsson bersedia bagi melaksanakan peranan penting dalam usaha berterusan Malaysia untuk menerima guna pendigitalan dan meningkatkan lagi kesalinghubungan.
“Apabila dapat mengembangkan keupayaan ‘5G-Advanced’ dan menggalakkan kerjasama merentas industri, inisiatif ini akan memperkasakan perniagaan tempatan untuk berinovasi, menyesuai dan berkembang maju dalam landskap digital yang berkembang pesat.
“Memandangkan ‘5G-Advanced’ terus berkembang, teknologi ini akan berperanan sebagai pemangkin untuk pendigitalan industri, daya saing negara dan peningkatan kualiti hidup untuk seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya. – 6 Mac, 2025