KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi suspek yang disiasat dan bukannya saksi dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dijalankan agensi itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, antara tindakan yang dilakukan SPRM terhadap Perdana Menteri Ke-sembilan itu ketika ini adalah meminta melakukan perincian harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM.
“Penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta dalam ‘safehouse’ berkenaan juga mengesahkan Ahli Parlimen Bera sebagai seorang suspek.
“Dalam hal ini yang tu saya boleh katakan beliau adalah suspek kes ini, kerana beliau sudah diminta memperincikan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM (pengisytiharan harta).
“Keduanya, apabila penemuan wang ini dan beliau antara yang dikaitkan, maka kita perlu mendapatkan penjelasan daripadanya mengenai penemuan wang itu.
“Ahli Parlimen Bera itu juga akan dipanggil sekali lagi bagi memberi keterangan Rabu ini,”
katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
SPRM hari ini mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan, wang tunai ratusan jutaan ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’ di Lembah Klang, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
Wang tunai yang dirampas itu meliputi nilai dalam Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan.
Selain itu Azam mendedahkan, nilai rampasan ditemui pegawainya dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri itu melebihi daripada jumlah yang dinilai ketika ini.
“SPRM ketika ini masih belum menilai sejumlah barang kemas yang yang ditemui dalam serbuan di tiga premis termasuk ‘safehouse’ terbabit.
“Setakat ini jumlah yang kita nilai ialah RM177 juta membabitkan wang tunai pelbagai mata wang dan jongkong emas RM7 juta. Jongkong emas itu mengikut harga semasa bernilai RM424,000 sekilogram.
“Terdapat pelbagai barangan kemas yang juga ditemui dalam siasatan itu yang belum sempat dinilai pegawai penyiasat kerana mereka masih perlu melakukan tugasan lain seperti ambil keterangan dan periksa dokumen.
“Kita juga mengesan dana yang berkemungkinan disembunyikan termasuklah di luar negara,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 13 akaun bank bernilai RM2 juta milik individu termasuk suspek yang ditahan sebelum ini dibekukan pihaknya dalam siasatan kes terbabit .
“Kita masih belum membekukan lagi akaun Yayasan Keluarga Malaysia kerana ia bukan akaun individu dan akaun yang aktif manakala akaun Ismail Sabri sedang siasat.
“Kita juga akan meminta penjelasan daripada beliau (Ismail Sabri) untuk menerangkan mengenai semua akaun yang ada,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini pihaknya memerlukan rakaman percakapan tujuh ke lapan orang lagi untuk tindakan selanjutnya.
“Kita juga sudah merakamkan kenyataan beberapa orang kanan Ismail Sabri sewaktu beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri, antaranya Datuk Nazimah Hashim, yang juga belas Ketua Setiausaha Sulit (KSUS),” katanya.
Ditanya sama ada wang yang dirampas sebagai sebahagian aset diisytihar Ismail Sabri, Azam berkata, beliau belum mendapat melihat keseluruhannya.
“Saya tidak tengok lagi, itu terpulang kepada pegawai penyiasat, tapi itu akan menjadi antara soalan.
Ditanya berapa nilai aset yang diisytihar Ismail Sabri, Azam bagaimanapun memaklumkan masih belum ada maklumat lengkap berhubung perkara itu.
“Itu saya tidak ada detail, tak boleh kongsi lagi setakat ini kerana kita masih lagi peringkat penyiasatan, sehingga kita berpuashati dengan apa yang diisytihar itu, kita akan umumkan kemudian,” katanya.
Tambah beliau lagi, keputusan pihaknya mempertontonkan barang kes kepada media sebagai keterbukaan bagi menjawab banyak persoalan kerana banyak pihak yang bertanya selain kes itu sudah menjadi satu isu viral.
Sebelum ini, SPRM dilapor akan memanggil 10 lagi saksi dalam siasatan pengisytiharan harta berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Perdana Menteri kesembilan itu.
Ia susulan penahanan empat individu termasuk bekas pegawai kanan Ismail Sabri, manakala Ahli Parlimen Bera itu dipanggil SPRM minggu lalu. – 3 Mac, 2025