GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo menegaskan beliau dan adik-beradiknya tidak mempunyai rasa ‘hak istimewa’ terhadap jawatan dalam DAP hanya semata-mata kerana mereka adalah anak kepada mendiang pemimpin parti dan peguam terkemuka, Datuk Seri Karpal Singh.
Sebaliknya beliau menekankan lebih banyak peluang harus diberikan kepada golongan muda untuk meningkat dalam parti.
Dalam temubual eksklusif dengan Scoop, Jagdeep yang juga anak sulung Karpal berkata beliau adan adik-adiknya iaitu Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Mankarpal Singh tidak dibesarkan oleh bapa mereka untuk berfikiran sedemikian.
“Tidak, kami tidak melakukannya kerana kami tidak dibesarkan dengan cara itu,’’ katanya dalam temu bual berkenaan, ketika ditanya sama ada adik-beradiknya mempunyai sentimen ‘hak istimewa’ itu.
Menurut Jagdeep, bapanya sentiasa menekankan kerja keras yang akhirnya akan memberikan hasil dalam kerjaya mereka.
“Pastikan kamu bekerja keras dan segala-galanya akan berjalan dengan lancar,” katanya mengimbas nasihat bapanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datok Keramat berkata demikian di tengah-tengah sentimen ‘anti-dinasti’ dalam DAP – terutama terhadap ahli keluarga Karpal dan Lim Kit Siang – yang tersirat dalam beberapa situasi yang berlaku dalam parti itu ketika ia bersiap sedia menghadapi pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) pada 16 Mac ini.
Pada pemilihan DAP Pulau Pinang tahun lalu, Jagdeep tidak berjaya menempatkan dirinya dalam senarai 15 teratas jawatankuasa negeri sementara Gobind kehilangan jawatan pengerusi dalam pemilihan DAP Selangor selepas memegangnya selama dua penggal.
Terpulang kepada parti untuk menentukan kerjaya kami
Ketika ditanya mengenai kewujudan sentimen ‘anti-dinasti’ Jagdeep yang mengakui kekalahan yang dialaminya bersama Gobind menegaskan bahawa pada akhirnya ahli parti yang akan menentukan kelangsungan kerjaya politik mereka, bukan mereka sendiri.
“Itu bukan hak kami untuk menghentak kaki dan berkata: Tidak, kami mahu berada di situ (kepimpinan parti).
“Selagi anda boleh berkhidmat, biarlah mereka (ahli) yang menentukan. Saya percaya pada prinsip itu, seperti yang selalu dikatakan oleh ayah saya: berkhidmatlah kepada rakyat dan anda akan melihat hasilnya,” tambahnya.

Jagdeep juga menegaskan walaupun mengalami kekalahan dalam pemilihan parti, beliau dan Gobind masih terus berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan Menteri Digital.
Selain itu, Ramkarpal berjaya meraih kedudukan pertama dalam saingan 15 teratas pemilihan DAP Pulau Pinang dengan memperoleh 1,247 undi.
Ramkarpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, kini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang.
Jagdeep turut menyuarakan keyakinannya bahawa DAP perlu memberi peluang kepada generasi muda untuk menerajui parti, selaras dengan pandangan yang dikemukakan oleh veteran parti seperti Datuk Seri Phee Boon Poh, Fong Kui Lun, Tan Kok Wai, dan M Kula Segaran ketika mereka mengumumkan pengunduran daripada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).
“Ia bukan hanya mengenai keluarga saya, anda tahu? Saya sebenarnya menantikan generasi masa depan.
“Saya pasti akan ada ramai lagi ‘Karpal Singh’ di luar sana, seperti yang beliau (Karpal) pernah katakan – apabila beliau tiada, ‘akan ada 100 Karpal untuk menggantikan tempatnya’,” tambah Jagdeep. – 2 Mac, 2025