PAS perlu kepimpinan lebih ‘segar’ untuk buka laluan rebut jawatan PM: penganalisis

Penganalisis politik melihat calon yang sesuai untuk bertanding jawatan Presiden ialah Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar manakala Datuk Seri Takiyudin Hassan sesuai dicalon sebagai Timbalan

5:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – PAS perlu memastikan jawatan tertinggi parti terutama Presiden dan Timbalan dipertandingkan pada pemilihan parti itu September ini bagi mewujudkan barisan kepimpinan yang lebih segar.

Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik, Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, PAS juga perlu meletakkan cita-cita supaya pemimpin tertinggi mereka turut menjawat jawatan Perdana Menteri.

Beliau yang juga pensyarah kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM) berkata, jika tidak memasang cita-cita terbabit adalah lebih baik PAS menukar landasan organisasi kepada NGO berbanding terus kekal sebagai parti politik.

“Saya berpandangan setiap parti politik sebenarnya perlu mempunyai hala tuju yang jelas termasuk matlamat untuk menang dalam pilihan raya dan berjaya menguasai jawatan tertinggi dalam kerajaan iaitu Perdana Menteri.

“Justeru saya jadi bingung apabila ketua parti politik tidak berhasrat untuk ketuai kerajaan sebagai Perdana Menteri.

“Adalah lebih baik disarankan agar Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi Mursyidul Am menggantikan Datuk Hashim Jasin dan jawatan Presiden dipertandingkan.

“Ini agar pemimpin yang berkelayakan dapat mengisi jawatan tersebut sekali gus membuka laluan kepada PAS untuk merancang meletakkan calon sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata parti itu tidak menghalang mana-mana pemimpin parti untuk merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan September ini.

Malah kata Sanusi, tiada sekatan dikenakan terhadap mana-mana pemimpin bertanding mana-mana jawatan yang dipertandingkan dan ia terbuka kepada semua ahli yang layak.

Menurutnya, tiada calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden yang disandang Abdul Hadi dalam pemilihan-pemilihan sebelum ini.

“Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS terbuka untuk dipertandingkan. Parti tak pernah tegah untuk calon bertanding, cuma tidak ada yang menawarkan diri untuk rebut jawatan tersebut dalam pemilihan,” kata Sanusi.

Pensyarah kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM) Mohammad Tawfiq Yaakub menyarankan supaya Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi Mursyidul Am menggantikan Datuk Hashim Jasin dan jawatan Presiden dipertandingkan. – Gambar media sosial, 2 Mac, 2025

Dalam pada itu, Tawfiq berkata, beliau berpandangan calon yang sesuai untuk bertanding jawatan Presiden ialah Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar manakala Datuk Seri Takiyudin Hassan sesuai dicalon sebagai Timbalan.

“Justeru PAS akan lebih segar untuk bersaing dalam politik Malaysia yang kini kebanyakannya disertai ramai pemimpin muda dari pelbagai parti,” katanya.

Sementara itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berpandangan, PAS mempunyai paling ramai Ahli Parlimen namun tidak pernah mempunyai peluang untuk memberi cadangan atau persepsi bahawa sepatutnya Perdana Menteri datang daripada parti itu.

“Itu hakikatnya terutama dalam keadaan sekarang dengan Ahli Parlimen ramai, sepatutnya mereka mempunyai kekuatan untuk mengenengahkan Hadi sebagai Perdana Menteri tapi peluang itu tidak ada.

“PAS ketika ini sebagai pembangkang dan walaupun ketika dalam kerajaan sebelum ini tapi mereka dalam kumpulan minoriti.

“Memang benar Hadi tidak pernah mempamerkan bahawa beliau seharusnya menjadi Perdana Menteri atau calon Perdana Menteri, begitu juga dengan kepimpinan PAS yang lain.

“Kerana mereka sedar dalam apa jua sekali pun mereka sukar mendapat sokongan dalam kalangan pemimpin gabungan termasuk juga parti sendiri untuk menjadi Perdana Menteri. Itu hakikat daripada dahulu hingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata, keadaan boleh berubah seandainya PAS mampu memenangi 60 hingga 70 kerusi pada pilihan raya dan boleh membentuk kerajaan.

“Itu tunjukkan kekuatan yang ketara, barulah kepimpinan PAS termasuk Hadi boleh menjadi Perdana Menteri.

“Jadi bagi saya untuk strategi PAS menubuhkan kerajaan Persekutuan, Hadi perlu kekal kerana tidak mahu menggoyangkan perjalanan PAS dalam membentuk kerajaan, itu cita-cita mereka,” katanya. – 2 Mac 2025

Topics

 

Hangat

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Anwar’s plan: protecting Petronas and restoring the ringgit – Tuan Muda

How the prime minister’s reforms are taking shape in crucial institutions

Related