KUALA LUMPUR – Gabungan platform ekonomi gig utama termasuk Bolt, FastGig, Foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare, Lalamove dan ShopeeFood telah menyuarakan kebimbangan berhubung Rang Undang-Undang Pekerja Gig dan mengingatkan bahawa draf tersebut mungkin mempunyai kesan tidak diingini yang boleh menjejaskan pekerja serta pertumbuhan industri.
Dalam satu kenyataan bersama selepas sesi town hall pada 19 Februari, platform-platform ini mengakui usaha proaktif kerajaan Malaysia dalam merangka dasar ekonomi digital dan gig namun menegaskan beberapa peruntukan utama dalam rang undang-undang tersebut memerlukan penambahbaikan lanjut bagi memastikan ia boleh dilaksanakan dengan berkesan.
Kumpulan itu menyatakan kebimbangan mengenai dua aspek utama iaitu peranan Majlis Perundingan dan sumbangan perlindungan sosial.
Mereka memberi amaran bahawa pendekatan dari atas ke bawah dalam menetapkan piawaian minimum industri secara menyeluruh, khususnya berkaitan dengan tambang dan pampasan, boleh membantutkan persaingan, meningkatkan kos perkhidmatan dan mengurangkan pendapatan pekerja gig.
Sebaliknya, mereka menyokong pendekatan yang lebih fleksibel dan dipacu pasaran bagi menyokong pertumbuhan industri yang mampan.
Selain itu, kenyataan tersebut turut menyatakan mengenai kekaburan dalam Rang Undang-Undang berkenaan sumbangan perlindungan sosial bagi pekerja yang terlibat di pelbagai platform.
Gabungan itu mempersoalkan sama ada pekerja gig, yang sering melakukan pelbagai peranan di platform berbeza akan diwajibkan membuat sumbangan berganda, yang berpotensi menambah beban kewangan mereka.
Kurangnya kejelasan mengenai bagaimana sumbangan ini harus dibahagikan antara platform boleh memberi kesan tidak seimbang kepada pemain industri yang lebih kecil, sekali gus mengurangkan persaingan dan menghadkan peluang pendapatan bagi pekerja.
SUBHEAD – Saranan untuk kajian lanjut dan ujian perintis
Bagi menangani kebimbangan itu, platform terbabit mencadangkan dua langkah utama sebelum rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen: kajian kebolehlaksanaan dan impak serta ujian kawal selia (Regulatory Sandboxing).
Mereka mencadangkan supaya kajian dijalankan di seluruh negara bagi mengumpul input daripada pemain industri serta pekerja gig untuk memastikan Rang Undang-Undang itu mencerminkan realiti sebenar di lapangan.
Selain itu, mereka menyarankan agar peraturan tertentu diuji terlebih dahulu dalam persekitaran terkawal sebelum pelaksanaan penuh bagi mengenal pasti dan membetulkan sebarang cabaran yang berpotensi timbul.
“Sebagai sebuah kumpulan, kami bekerjasama dengan lebih sejuta pekerja gig di Malaysia dan bersedia menawarkan kepakaran kami bagi memastikan Rang Undang-Undang ini bersifat praktikal, mampan dan mesra pekerja,” menurut kenyataan itu.
Pendirian kerajaan mengenai Rang Undang-Undang
Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengumumkan Rang Undang-Undang berkenaan dijangka dibentangkan di Parlimen dalam masa dua minggu, bergantung kepada kelulusan Kabinet. Jika diluluskan, Malaysia bakal menjadi antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan undang-undang khusus bagi melindungi pekerja gig.
Sim memberitahu, RUU tersebut sepatutnya dibentangkan pada Disember tahun lalu namun ditangguhkan bagi memastikan akta berkenaan lengkap dan meliputi segala aspek serta mampu menjaga kebajikan pekerja gig.
Jelasnya, kira-kira 3,000 peserta telah mengambil bahagian dalam sesi Town Hall yang diadakan di seluruh negara.
Draf berkenaan dilaporkan mengandungi 10 Bahagian dan 101 Fasal yang merangkumi perkara-perkara seperti hak pekerja gig, kewajipan entiti kontrak, mekanisme penyelesaian pertikaian, penubuhan Majlis Perundingan dan perlindungan keselamatan sosial.
Desakan untuk dialog yang lebih inklusif
Ini bukan kali pertama pemain industri menyeru agar rundingan yang lebih mendalam diadakan. Pada November tahun lalu, platform ekonomi gig utama menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang tersebut, dengan alasan keterlibatan yang tidak mencukupi dengan pihak berkepentingan serta kekurangan akses kepada draf penuh cadangan pindaan.
Mereka juga mencadangkan agar efinisi pekerja gig diperluas melebihi e-hailing dan p-hailing dan merangkumi pelbagai kategori pekerja bebas.
Sementara itu, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) turut menyuarakan kebimbangan yang sama, menekankan keperluan untuk kejelasan lanjut mengenai pelaksanaan Rang Undang-Undang sebelum ia diluluskan menjadi undang-undang.
Dengan Rang Undang-Undang kini menghampiri peringkat akhir, pihak berkepentingan ekonomi gig terus mendesak rangka kerja yang seimbang, yang melindungi sambil memacu inovasi industri.
Mereka tetap berharap bahawa perbincangan berterusan dengan kerajaan akan membawa kepada penyelesaian perundangan yang praktikal dan mampan. – 28 Februari, 2025