KUALA LUMPUR – Majlis Media Malaysia (MMM) yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini dijangka dapat diwujudkan dan memainkan peranannya bermula pertengahan tahun ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, rang undang-undang (RUU) MMM itu akan dibawa ke Dewan Negara dan selepas itu menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan.
“Setelah dikuatkuasakan nanti, kita jangka lembaga pengasas akan dibentuk dan (seterusnya) Majlis Media Malaysia. Ini kita harap sekiranya sempat, menjelang pertengahan tahun ini dapat diwujudkan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, kelulusan di Dewan Rakyat hari ini disifatkan sebagai saat sangat bersejarah kerana RUU itu mula difikirkan pada 1973.
“Maka apa yang dilaksanakan hari ini boleh dikatakan sudah tertunda 52 tahun,” katanya.
RUU MMM 2024 diluluskan Dewan Rakyat, hari ini selepas lima dekad penubuhan Majlis itu dibincangkan.
RUU yang bertujuan, antara lain menubuhkan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media itu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, selepas dibahas 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
RUU MMM 2024 yang mengandungi 23 Fasal itu dibentangkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching untuk bacaan kali pertama pada 12 Disember tahun lalu.
Ketika membentangkan RUU MMM 2024 untuk bacaan kali kedua, hari ini, Nie Ching, berkata RUU itu digubal dengan hasrat industri media untuk menubuhkan sebuah badan yang akan memperkukuh tadbir urus media di Malaysia.
Katanya, cadangan penubuhan satu jawatankuasa atau organisasi bagi menyelaras tadbir urus industri media di Malaysia dicetuskan sejak 1973 oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
“.. dan sejak itu, kerajaan menerima pelbagai cadangan berbentuk serupa daripada industri media.
“RUU itu adalah komitmen Kementerian Komunikasi dan kerajaan bagi menjamin kebebasan media untuk memastikan masyarakat umum mendapat maklumat yang sahih, berintegriti dan adil.
“Melalui penubuhan MMM, kerajaan yakin ruang semak dan imbang boleh dilaksanakan oleh pemain industri media sendiri bagi meningkatkan amalan integriti dan pematuhan
etika.
“Di sini letaknya tugas besar MMM dan pengamal media untuk menjamin integriti pelaporan kepada rakyat,” katanya. – 26 Februari, 2025