KUALA LUMPUR — Misi pencarian baharu pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang 11 tahun lalu sudah dimulakan di Lautan Hindi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan perkara itu dan memaklumkan syarikat Ocean Infinity telah memulakan pencarian terakhir MH370 walaupun belum memuktamadkan kontrak dengan kerajaan.
“Kita telah diberi kelulusan prinsipal untuk pencarian diteruskan, tetapi kita masih memuktamadkan butiran untuk kontrak yang akan ditandatangani.
“Namun begitu, kami mengalu-alukan keproaktifan Ocean Infinity untuk mencari MH370 kerana ini adalah berita baik untuk semua waris mangsa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu menurut laporan media antarabangsa hari ini, syarikat eksplorasi laut swasta dari Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), Ocean Infinity, menggunakan kapal sokongan Armada 7806 untuk mencari pesawat malang terbabit di kawasan seluas 15,000km persegi, kira-kira 1,500 km dari pantai Perth.
Misi ini akan memberi tumpuan kepada empat kawasan yang dianggap sebagai kawasan tumpuan utama di mana bangkai pesawat malang terbabit mungkin berada.
Pencarian ini bagaimanapun dijangka rumit kerana topografi dasar laut dan keadaan cuaca.
Selain itu Loke berkata, syarikat terbabit telah memberi jaminan kepada Kementerian Pengangkutan bahawa carian itu akan menghasilkan hasil yang positif dengan menggunakan data daripada carian sebelumnya.
“Usaha pencarian baharu ini tidak akan berterusan selama-lamanya, dengan tempohnya akan dimuktamadkan selepas kontrak antara kementerian dan Ocean Infinity ditandatangani,” katanya.
Sebelum ini pada 20 Disember lalu, kerajaan bersetuju secara prinsip menerima tawaran syarikat dari United Kingdom, Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat MH370.
Loke ketika itu berkata, kontrak pencarian ini berdasarkan prinsip “tiada penemuan, tiada bayaran”, bermakna kerajaan tidak akan mengeluarkan sebarang bayaran jika tiada apa-apa yang ditemui.
Pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014. – 25 Februari, 2025