Nazri dipanggil 5 kali oleh Jabatan Negara AS untuk ‘jawab’ isu Palestin, global

Bekas Duta AS itu berkongsi bagaimana beliau menggunakan fakta prinsip untuk mempertahankan kebebasan Malaysia

6:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendedahkan beliau telah dipanggil oleh Jabatan Negara AS sebanyak lima kali susulan pendirian negara dalam isu antarabangsa khususnya berkaitan Palestin, Iran dan Russia.

Bercakap dalam podcast Trick Lama terbitan Scoop baru-baru ini, Nazri, yang mengakhiri tempoh perkhidmatannya selama dua tahun pada awal bulan ini, mengimbas bagaimana beliau pada mulanya menyangka tugas di Washington DC akan berjalan dengan mudah memandangkan peranan seorang duta kebanyakannya melibatkan kehadiran ke acara diplomatik.

Namun, keadaan berubah secara drastik selepas 7 Oktober 2023, apabila konflik Israel-Palestin yang berlarutan dan memuncak dengan serangan rentas sempadan oleh Hamas, kata Nazri dalam podcast yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Isa, Pengarah Eksekutif Kumpulan Datuk Ahirudin Attan (Rocky Bru) dan Ketua Pengarang Kumpulan Terence Fernandez.

Perang yang tercetus di Gaza serta pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan tegas yang telah menarik perhatian AS.

“Kali pertama saya dipanggil, mereka sebenarnya ‘mengajar’ saya mengenai sokongan Malaysia terhadap Palestin.

“Tetapi kadangkala, kejahilan itu satu rahmat. Sebagai lantikan politik, saya tidak pasti bagaimana seorang diplomat biasanya akan bertindak balas dalam situasi sebegini. Disebabkan saya tidak tahu, saya meminta hak untuk memberi jawapan,” katanya.

Nazri menolak, menegaskan pendirian Malaysia adalah berasaskan prinsip.

“Saya beritahu mereka ‘saya adalah Duta Malaysia ke AS, Israel tidak termasuk dalam persamaan ini. Tugas saya hanyalah untuk memastikan hubungan baik dengan AS. Bagi kami, Palestin telah dipaksa melarikan diri, inilah pendirian kami.

“Saya juga berkata, ‘saya tidak boleh menyampaikan mesej ini ke Kuala Lumpur kerana saya bukan duta anda. Anda mempunyai duta sendiri, jadi sampaikanlah menerusinya.

“Saya turut menegaskan ‘kami tidak gembira dengan pendirian anda yang memberikan sokongan padu kepada Israel, tetapi kami tidak pernah memanggil duta anda di Kuala Lumpur.

“Saya sebenarnya membalas dengan sopan dan menjelaskan bahawa kami tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Ini bukan kerana kami membenci orang Yahudi, tetapi pendirian kami berasaskan resolusi PBB yang menyokong penyelesaian dua negara,’’ katanya.

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (dua dari kiri) berkongsi pengalamannya sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat dalam podcast Scoop, Trick Lama bersama Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez (dua dari kanan), Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Zainul Arifin (kanan) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (kiri). – Gambar Scoop, 25 Februari, 2025

Nazri berkata beliau telah dipanggil ke Jabatan Negara buat kali kedua selepas Anwar bertemu dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, di Qatar pada Mei tahun lalu, kira-kira dua bulan sebelum Allahyarham dibunuh oleh Israel di Tehran, Iran.

“Mereka bertanya kepada saya mengapa Perdana Menteri kita bertemu dengannya (Ismail). Saya tidak dapat menghubungi Kuala Lumpur, ia berlaku secara tiba-tiba, jadi saya perlu memberikan jawapan serta-merta.

“Jadi saya beritahu mereka: ‘Ismail Haniyeh adalah pemimpin Palestin yang dipilih secara demokrasi. Ini adalah demokrasi, ia bermaksud menghormati pemimpin yang dipilih rakyat. Malaysia tidak boleh menolak hakikat itu. Perdana Menteri saya berhak untuk bertemu dengan Ismail.’

Beliau juga menekankan komitmen Malaysia terhadap keputusan berasaskan hubungan pelbagai hala.

“Jika AS mengenakan sekatan terhadap Hamas sebagai organisasi pengganas, itu adalah pendirian mereka. Kami mengikut PBB, dan Hamas tidak tersenarai dalam senarai PBB. Itulah cara saya jawab, berdasarkan fakta,’’ tambahnya.

Panggilan ketiga menyusul susulan kenyataan Anwar bahawa Iran berhak membalas serangan Israel selepas Israel menyerang konsulat Iran di Tehran, Syria pada 1 April 2024. Iran kemudian membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel.

“Saya terpaksa menjawab serta-merta:

“Anda menyerang konsulat jeneral di (Tehran), di bawah undang-undang diplomatik dan antarabangsa, itu adalah wilayah Iran.

“Ini adalah konsulat jeneral. Itu merupakan wilayah Iran. Jadi Iran mempunyai hak penuh untuk membalas serangan.

Nazri dipanggil buat kali keempat selepas Anwar mengeluarkan kenyataan mengenai xenofobia.

“Dalam hati saya terfikir, ‘makan cili rasa pedas ke?’

“Saya beritahu mereka bahawa ia adalah kenyataan umum dan tidak pun merujuk kepada AS. Saya tanya mereka: ‘Kenapa anda terasa? Jika anda bukan xenofobik, maka ia sepatutnya tidak mengganggu anda.’”

Panggilan kelima dan terakhis ialah apabila Anwar melawat Rusia pada September lalu.

“Mereka (Jabatan Negara AS) beritahu saya supaya menunggu panggilan, tetapi mereka tidak pernah menghubungi saya. Saya menunggu, tetapi saya rasa mereka sudah putus asa dengan saya,” kata bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu sambil ketawa.

Nazri, 70, tidak lagi aktif berpolitik pada 2021 apabila mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang diadakan pada tahun berikutnya.

Sebagai ahli Umno, beliau telah menjadi Ahli Parlimen sejak 1995 dan pernah memegang pelbagai jawatan sebagai timbalan menteri dan menteri.

Nazri memberitahu podcast Trick Lama pengalamannya sebagai duta telah menunjukkan bagaimana tekanan yang dilalui oleh Malaysia untuk mengekalkan dasar luar yang bebas sambil menguruskan hubungan dengan AS.

Walaupun dipanggil berulang kali, beliau menegaskan keutamaannya ialah mempertahankan Perdana Menteri Malaysia, kedudukannya dan prinsipnya di peringkat antarabangsa.

Dalam perubahan daripada amalan sebelum ini, Duta Malaysia ke AS yang seterusnya akan dilantik daripada kalangan diplomat kerjaya dan bukan lantikan politik, kata Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan kepada media pada Isnin.

Calon tersebut telah dilantik dan sedang menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum dihantar bertugas ke Washington DC bulan depan. – 25 Februari 2025

Topics

 

Hangat

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related