KUALA LUMPUR – PTTEP Thailand secara tiba-tiba membatalkan beberapa tender kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) untuk projek gas gergasi besar Lang Lebah di luar pesisir Sarawak, dengan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) projek itu kini ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya 2026.
Lang Lebah, yang digembar-gemburkan sebagai penemuan gas terbesar dalam sejarah PTTEP mengandungi anggaran 6 hingga 7 trilion kaki padu (Tcf) gas. Projek ini dilihat sebagai pemacu pertumbuhan utama bagi portfolio PTTEP di Malaysia, menurut laporan Upstream.
Namun pembangunan yang dirancang kini terhenti kerana tawaran komersial melebihi bajet lebih daripada AS$1 bilion, menurut laporan yang memetik sumber industri.
Pembatalan tender secara tiba-tiba oleh PTTEP telah mengejutkan industri.
“Kami baru sahaja menerima ‘notis pembatalan’ untuk salah satu pakej. Ini amat mengecewakan kerana berjuta-juta dolar telah dibelanjakan untuk proses bidaan,” kata sumber kepada Upstream.
Seorang lagi dalam industri menyifatkan keputusan itu sebagai ‘satu kejutan’ memandangkan ramai kontraktor menjangkakan lanjutan tempoh bidaan berbanding pembatalan sepenuhnya.
Seorang pegawai PTTEP mengesahkan bahawa syarikat itu kini sedang mereka bentuk semula projek untuk mengoptimumkan kos menyebabkan FID ditangguhkan sehingga 2026.
Tindakan itu telah menyebabkan pembida kecewa dengan salah salah seorang menyatakan ‘banyak masa dihabiskan untuk menyediakan bidaan’.
Pertikaian Petronas-Petros: faktor asas?
Walaupun PTTEP menyatakan kebimbangan kos sebagai punca kelewatan projek Lang Lebah namun pemerhati industri semakin melihat pertikaian berpanjangan antara syarikat minyak negara, Petronas dan syarikat milik kerajaan Sarawak, Petros sebagai faktor utama yang menjejaskan daya maju projek ini.
Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Big Boom Media, yang menerbitkan Scoop, Datuk Ahirudin Attan menerusi tulisannya menekankan bagaimana konflik Petronas-Petros menghalang pelabur asing dan menjejaskan pembangunan skala besar.
Ahirudin berhujah perebutan kuasa antara Putrajaya dan Petra Jaya – yang dilambangkan oleh persaingan antara Petronas dan Petros – melemahkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang boleh dipercayai.
Ahirudin, juga dikenali sebagai Rocky Bru turut mengingatkan tanpa campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kesan yang timbul boleh menjadi bencana bagi industri minyak dan gas Malaysia.
Projek Lang Lebah dijangka menjana berbilion dolar dalam pendapatan, ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi, serta peluang limpahan ekonomi untuk syarikat minyak dan gas tempatan.
Penggantungannya boleh membawa kesan ekonomi yang meluas terutama kepada penyedia perkhidmatan Malaysia yang telah bersaing untuk mendapatkan kontrak EPC utama. – 22 Februari, 2025