8 lagi individu disiasat muat naik kandungan palsu, jelik terhadap Agong, Majlis Raja-Raja

Lapan unit telefon pintar dan lapan unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan

3:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kelmarin merakam keterangan lapan lagi individu disyaki memuat naik kandungan bersifat palsu dan jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kandungan berkenaan didapati boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat selain membangkitkan kebencian dan persendaan terhadap institusi diraja.

Menurut MCMC, berdasarkan laporan yang dibuat, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, pelaku berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Jelasnya, operasi terbabit dijalankan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis dan Pahang.

“Hasilnya, lapan unit telefon pintar dan lapan unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan.

“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” menurut kenyataan itu memetik laporan Bernama.

Agensi itu turut mengingatkan orang ramai untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa memuat naik sebarang kandungan di media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet.

“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan berunsur palsu serta kebencian, yang bertentangan dengan nilai dan norma budaya masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya. – 15 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related