PAS terlalu konservatif, kurang pengalaman ekonomi untuk terajui Pulau Pinang: pemerhati

Komponen dalam Perikatan Nasional juga tiada perwakilan profesional dan persefahaman berbilang kaum untuk menguruskan ekonomi yang pelbagai

9:00 PM MYT

 

GEORGE TOWN – PAS terlalu konservatif dan kurang pengalaman mengendalikan ekonomi maju dan berbilang kaum untuk memimpin Pulau Pinang, kata pemerhati sektor politik dan perniagaan.

Di sebalik perbalahan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) mengenai parti mana yang harus memimpin negeri itu, pemerhati juga menegaskan bahawa PAS masih tidak dapat menarik sokongan kaum Cina.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Azmil Tayeb berkata, rakyat Pulau Pinang boleh mengharapkan penguatkuasaan undang-undang moral (‘moral policing’) dan pelaksanaan peraturan patuh syariah menjadi keutamaan dalam agenda PAS, merujuk kepada dasar seperti pengharaman nombor ekor dan pembentukan skuad anti maksiat seperti yang dilakukan di negeri yang dipimpinnya.

Penganalisis itu juga menyatakan bahawa PAS hanya berjaya bertapak di tanah besar Pulau Pinang pada pilihan raya negeri 2023 kerana kehadiran Melayu yang kuat di sana.

“Ia tidak boleh merampas kuasa kerajaan negeri tanpa memenangi kerusi di pulau itu. Ia bermaksud mendapat kepercayaan majoriti bukan Melayu di pulau itu, (iaitu) sesuatu yang agak sukar untuk digapai PAS.

“Pendekatan konservatisme garis keras (‘hardline’) PAS ditolak kebanyakan, jika tidak semua, bukan Islam. Serangannya terhadap pemimpin bukan Islam menjadikan parti itu lebih tidak disenangi oleh orang bukan Islam,” katanya ketika dihubungi Scoop.

PN memegang 11 kerusi DUN di Pulau Pinang, dengan tujuh di bawah PAS dan empat di bawah Bersatu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Pulau Pinang Datuk Shaik Hussein Mydin berkata PAS lebih tertumpu kepada isu perkauman berbanding ekonomi, yang menurutnya boleh dikaitkan dengan kekurangan pemimpin yang berkebolehan dalam barisannya.

“11 ADUN dari PN (di Pulau Pinang) tidak mampu memimpin negeri berbilang kaum seperti Pulau Pinang”, katanya kepada Scoop ketika dihubungi.

Pemimpin PAS Pulau Pinang, termasuk pesuruhjaya bahagian negeri Muhammad Fauzi Yusoff dan ketua penerangan PAS Pulau Pinang Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, baru-baru ini mencadangkan PAS boleh dianggap sebagai ketua gabungan di Pulau Pinang berdasarkan jumlah kerusi yang dikuasainya.

Perdebatan kepimpinan telah mencetuskan ketegangan dalam PN, dengan parti komponen lain Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mempertikaikan parti mana yang patut mengetuai gabungan di negeri itu. Ini susulan laporan PN merancang untuk memberi tumpuan kepada pengundi Melayu dan India untuk memperoleh majoriti tipis pada pilihan raya negeri akan datang.

Jelas Shaik, PAS memerlukan lebih banyak sokongan bukan Melayu di Pulau Pinang untuk mentadbir negeri itu.

Untuk ini, ia memerlukan lebih ramai ahli kelas profesional dalam barisannya, malangnya kurang, terutama dalam sayap belia dan wanita, tambahnya.

“Selain itu, PAS juga memerlukan lebih ramai pemimpin muda yang berkebolehan.

“Parti itu juga memerlukan rakan kongsi yang baik, (didapati kurang) dalam Bersatu dan Gerakan,” tambah Shaik.

Mengurus ekonomi Pulau Pinang

Pulau Pinang adalah hab untuk pelabur dalam pengeluaran elektrik dan kejuruteraan dan semikonduktor, tetapi pengalaman PAS dalam mentadbir negeri setakat ini hanya ekonomi yang lebih menumpu di luar bandar dan majoriti Melayu seperti di Kelantan, Perlis dan Kedah. Ia termasuk kerajaan negeri di Terengganu yang mempunyai industri minyak dan gas.

Pengerusi bahagian pemuda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Hisham Abdul Hamid, berpendapat PAS tidak layak untuk mentadbir ekonomi Pulau Pinang yang berbilang kaum dan maju.

Ekonomi negeri memerlukan pemain berbilang kaum untuk menggerakkannya dan kerajaan negeri berbilang kaum untuk mentadbirnya, katanya kepada Scoop.

“PAS tidak mempunyai pengalaman dalam mentadbir Pulau Pinang. Dari segi sejarah, Pulau Pinang sentiasa ditadbir oleh parti politik berbilang kaum.

“Jika (Pulau Pinang) ditadbir oleh PAS, ekonomi boleh menjadi lebih teruk kerana (gaya) pengurusannya yang lemah apabila kita lihat negeri pimpinan PAS seperti Kelantan dan Kedah,” katanya.

Tambah Hisham, prestasi ekonomi negeri pimpinan PAS tidak setanding dengan negeri pimpinan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan seperti Johor, Pulau Pinang dan Selangor.

Putrajaya masih mengawal semua ekonomi

Bagaimanapun, pakar ekonomi Profesor Emeritus Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MESTI) berkata keupayaan PAS untuk mentadbir ekonomi negeri tidak seharusnya diketepikan begitu cepat.

Beliau memetik Kedah, yang mempunyai industri semikonduktor yang besar dan bertenaga di Taman Perindustrian Kulim Hi-Tech, yang merupakan taman perindustrian teknologi kedua terpenting di wilayah utara selepas Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas (FIZ) di Pulau Pinang.

“Tambahan pula, Terengganu kini diurus dengan sangat baik, dengan industri (petroleum) membangun (di negeri ini) dengan Petronas (beroperasi) di sana, dan mereka telah mula membangunkan pelabuhan dan mengusahakan nadir bumi (ekstraksi),” katanya kepada Scoop.

Barjoyai juga berkata dalam membincangkan parti mana yang terbaik untuk menerajui ekonomi negeri, perlu diingat Putrajaya masih memainkan peranan besar dalam menguruskan ekonomi semua negeri dalam persekutuan.

Beliau menegaskan bahawa peranan negeri kebanyakannya tertumpu kepada mengurus kerajaan tempatan.

“Jika anda perasan, Selangor malah Pulau Pinang diurus dengan baik walaupun diterajui parti pembangkang (sebelum ini). Ini kerana kerajaan persekutuan pada dasarnya melakukan sebahagian besar usaha (dalam membangunkan ekonomi negeri ini),” tambahnya. – 13 Februari 2025

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related