KUALA LUMPUR – Kedutaan Palestin di negara ini belum mendapat maklumat mengenai penghantaran 15 tahanan Palestin ke Malaysia, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.
Menurut Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, laporan media antarabangsa itu juga di luar pengetahuan pihaknya.
“Malangnya, kami tidak tahu apa-apa mengenai isu ini,” katanya seperti yang dilaporkan BH.
Baru-baru ini agensi berita Xinhua, seramai 15 tahanan Palestin akan dihantar ke Malaysia.
Selain itu, tiga negara lain iaitu Turkiye, Qatar dan Pakistan akan menerima masing-masing 15 tahanan daripada keseluruhan 60 orang.
Xinhua yang memetik Ketua Kelab Tahanan Palestin, Abdullah Zaghari, sebagai berkata, 60 tahanan itu kini berada di Mesir, sementara menunggu dihantar ke empat negara terbabit.
Perjanjian gencatan senjata itu bersetuju bahawa tahanan tersebut tidak dibebaskan ke Semenanjung Gaza atau Tebing Barat.
Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat yang bertindak sebagai perantara, mengumumkan dalam satu kenyataan bersama pada 15 Januari lalu bahawa Hamas dan Israel telah mencapai perjanjian gencatan senjata.
Sejak gencatan senjata berkuatkuasa pada 19 Januari lalu, Hamas telah membebaskan 18 tebusan sebagai pertukaran untuk Israel membebaskan beratus-ratus tahanan Palestin dari penjaranya.
Laporan Times of Israel menyatakan Israel menetapkan syarat, rakyat Palestin yang disabitkan kesalahan paling berat tidak dibebaskan ke Semenanjung Gaza atau Tebing Barat. – 12 Februari, 2025