KUALA LUMPUR – Seorang pakar pendidikan mempersoalkan bentuk tindakan konkrit yang telah diambil untuk menyelesaikan isu sekolah padat yang berlarutan sejak sekian lama sehingga ada kelas mempunyai sehingga 51 murid.
Pensyarah dari Universiti UCSI, Othman Talib ketika dihubungi Scoop berkata, mengikut Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), jumlah yang ideal bagi murid sekolah rendah adalah 25 (atau lebih rendah), manakala sekolah menengah adalah 30 (atau lebih rendah).
“Meskipun Perdana Menteri mengumumkan 44 sekolah baharu di seluruh negara pada belanjawan 2025, namun sekolah lama akan tetap padat dan sesak,’’ katanya ketika dihubungi Scoop.

Beliau mengulas mengenai dakwaan yang tular di media sosial mengenai ada sekolah di Selangor yang mempunyai sekolah yang padat dan sesak dengan satu kelas mempunyai murid-murid antara 42 hingga 51 murid.
Ia mencetuskan kebimbangan ramai mengenai keadaan berkenaan dan impak kepada guru untuk mengajar serta bagaimana murid-murid terutama tahun satu dapat menerima pengajaran daripada guru.

Mengulas lanjut, Othman turut mempersoalkan mengenai perancangan sekolah satu sesi membabitkan lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dalam masa lima tahun akan datang yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini.
Menurut Othman, ia tidak akan mengatasi masalah sekolah padat kerana ketika ini terdapat 10,235 sekolah menengah dan rendah di seluruh negara dengan 87.9 % adalah sekolah satu sesi dan kira-kira 12.1% adalah sekolah dua sesi.
“Jika diambil kira pembinaan sekolah baharu pada tahun ini adalah 44 buah sekolah, maka dalam tempoh sehingga 2030, jikapun 44 sekolah ditambah setiap tahun, kemungkinan ada 220 buah sekolah baharu dalam masa tersebut.
“220 buah sekolah ini adalah peningkatan sekolah sebanyak 2% sahaja. Itupun jika setiap tahun 44 buah sekolah baru dibina. Jadi bagaimana boleh dijadikan semua sekolah satu sesi, sedang dalam masa yang sama, penduduk terus bertambah dengan pertambahan kawasan kediaman dan perumahan,’’ soal beliau.
Justeru bagi mengatasi isu masalah sekolah padat dengan segera dan demi pendidikan kanak-kanak, Othman mencadangkan solusi segera tetapi sementara iaitu dengan menjadikan kontena yang diubah suai untuk dijadikan kelas bagi tujuan proses pembelajaran.
“Apa yang boleh buat ialah bangunan kontena? Pasang penghawa dingin berpusat atau lengkapkan dengan ventilasi serta kipas yang mencukup. Kenapa kita tak boleh buat begitu ?,’’ katanya.

Sementara itu, pensyarah dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad berkata kanak-kanak akan hilang keseronokan jika bilik darjah menjadi sesak dan sukar berfikir secara mandalam untuk menyelesaikan masalah serta meneroka pengalaman serta perkara baru dengan rakan-rakan.
“Bayangkan setiap hari anak-anak anda belajar dalam kelas yang sesak, panas dan persekitaran yang tidak memungkinkan aktiviti pembelajaran dilakukan secara aktif.
“Mereka bersesak, panas, rimas dan bosan. Malangnya, kita tak pernah merasai apa perasaan mereka sebenarnya.
“Bayangkan pula bagaimana guru terpaksa menggunakan sepenuh suara dan tenaga mereka untuk mengawal kelas, mengajar dan melakukan pentaksiran secara langsung pada murid,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anuar turut meminta KPM menjelaskan sama ada dakwaan tersebut benar, jika tidak rakyat akan percaya sememangnya situasi sekolah terlalu sesak dan padat memang berlaku.
“Di negara orang lain, bukan sahaja bilangan murid tidak ramai, malah guru mata pelajaran disediakan pula pembantu guru untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.
“Mengapa kita tak boleh lakukan? Kita tak (ada) duit? Atau pendidikan berkualiti untuk anak-anak tidak sepenting projek yang lain? Isu pendidikan anak-anak boleh diketepikan dulu?,’’ soalnya. – 9 Februari, 2025