Harga belian padi yang sesuai antara RM1,500 hingga RM1,600 per tan metrik: pengerusi Mada

Harga lantai belian padi yang ditetapkan RM1,300 per tan metrik sejak Oktober 2023 perlu ditingkatkan kepada jumlah lebih tinggi kerana ia tidak memadai untuk pesawah menampung kos penghasilan padi yang semakin meningkat

6:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan boleh menetapkan harga belian padi yang bersesuaian dengan harga beras semasa ketika ini sekitar RM1,500 sehingga RM1,600 per tan metrik, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Datuk Ismail Salleh.

Menurut Ismail kepada Scoop, harga lantai belian padi yang ditetapkan RM1,300 per tan metrik sejak Oktober 2023 perlu ditingkatkan kepada jumlah lebih tinggi kerana ia tidak memadai untuk pesawah menampung kos penghasilan padi yang semakin meningkat.

“Ada tiga perkara yang mesti dilihat dalam usaha untuk menangani isu ini, pertama ialah peladang iaitu mereka yang membuat sawah, kedua adalah pengguna beras iaitu rakyat keseluruhannya dan ketiga adalah pengilang.

“Melihat kepada tiga komponen ini mesti bersekali dengan harga-harganya iaitu harga beras putih tempatan, harga padi dan harga benih kerana ia akan menentukan antara satu sama lain.

“Misalnya harga beras sekarang agak murah, katakan RM2,800 setiap tan metrik, maka sudah tentu harga padi yang sesuai dibeli adalah sekitar RM1,500 atau RM1,600 dan jika harga padi sekitar itu, maka harga padi benih adalah RM150 ke RM200 lebih mahal daripadanya,” katanya kepada Scoop hari ini.

Pada 2023, kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan daripada RM1,200 per metrik tan sejak 2014.

PeSAWAH menghantar memorandum kepada Perdana Menteri baru-baru ini supaya mempertimbangkan cadangan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per metrik tan kepada RM1,800 per metrik tan. – Gambar@humaidizul di X, 9 Februari, 2025

Bagaimanapun Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) baru-baru ini mahu kerajaan mempertimbangkan cadangan pertubuhan itu untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per metrik tan kepada RM1,800 per metrik tan.

Terdahulu, kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi pada minggu depan berserta subsidi tambahan bagi mengimbangi kesan kepada pengguna terutamanya melibatkan harga beras.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan membentangkan kertas kerja bagi menjelaskan dan mengumumkan kenaikan harga lantai berkenaan.

“Kenaikan harga lantai ini akan menyebabkan kenaikan harga beras bagi pengguna. Jadi bagaimana kita nak imbangi ini, naik harga (belian padi) bagi pesawah akan naik harga (beras) bagi pengguna, kita tidak mahu naik bagi pengguna.

“Jadi setakat ini saya bincang dengan Kementerian Kewangan supaya kerajaan akan menampung subsidi supaya harga pasaran beras tempatan bagi pengguna tidak dinaikkan, maknanya kerajaan akan tampung lagi (subsidi) sekitar RM150 juta untuk enam bulan, itu akan dimuktamadkan dalam masa singkat,” kata Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sementara itu, Ismail memberitahu, usaha untuk meningkatkan hasil padi mesti berterusan melibatkan empat perkara iaitu kesuburan tanah, pengairan, pengurusan dan varieti padi itu sendiri.

“Kalau hasil tinggi sudah tentu peladang kita akan menikmati hasil lebih dan kos keseluruhan dalam industri padi ini mesti dilihat semula dan mesti diturunkan.

“Pada masa sama, projek Penanaman Padi Berskala Besar perlu diperluaskan untuk memastikan bahawa hasil kita tinggi dan kos rendah,” katanya.

Seorang pesawah, Fadzli Arsad berkata kerajaan juga perlu melibatkan wakil pesawah dalam sebarang perbincangan berkaitan dasar dan harga padi sebelum membuat keputusan. – Gambar hiasan Scoop, 9 Februari, 2025

Sementara itu seorang pesawah di Tanjong Karang, Selangor, Fadzli Arsad berpandangan kerajaan wajar menaikkan harga belian padi lebih tinggi berbanding RM1,300 per tan, ketika ini mengambil kira kos ditanggung pesawah.

“Kalau ada pengilang swasta lain boleh beli pada harga RM1,600 hingga RM1,700, kenapa tidak kerajaan ambil inisiatif tingkatkan harga itu sebagai harga lantai.

“Kerajaan perlu mengambil kira segala kenaikan kos pengeluaran yang terpaksa ditanggung oleh pesawah. Kos benih padi kini mencecah RM58- RM70 bagi setiap 20kg serta kos membajak dan menuai akibat penghapusan subsidi diesel,” katanya.

Beliau berkata, Bernas perlu pastikan beras tempatan juga ada di pasaran, jangan disorok atau ditukar beg atau dicampur bagi dijadikan beras import.

“Langkah ini penting bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran padi dan memastikan kelangsungan hidup pesawah.

“Kerajaan juga perlu melibatkan wakil pesawah dalam sebarang perbincangan berkaitan dasar dan harga padi. Suara dan pandangan pesawah perlu didangar dan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya. – 9 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related