KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan dua Sesi Pendengaran Awam bagi mendapatkan pandangan rakyat berhubung sektor penjagaan kesihatan dan insurans, di sebalik kebimbangan ramai mengenai kos yang melambung tinggi.
Buat pertama kalinya, PAC akan mengadakan Sesi Pendengaran Awam itu bagi prosiding berhubung peningkatan bayaran premium insurans kesihatan/takaful, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia.
Sesi pertama akan didakan pada 14 Februari ini di AC Marriott Hotel di Bukit Jambul, Pulau Pinang sementara sesi kedua akan berlangsung di bangunan Parlimen pada 21 Februari.
Kedua -dua sesi akan berlangsung dari 9 pagi hingga 12 malam.
Selain orang ramai, PAC turut menjemput syarikat insurans dan hospital swasta, pemegang polisi insurans, wakil persatuanpengguna, ejen insurans, wakil syarikat insurans dan wakil pengurusan hospital swasta.
Ia juga menggalakkan kehadiran doktor-doktor pakar, wakil pekerja hospital swasta, syarikat farmaseutikal, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik, pakar perkhidmatan kesihatan dan semua lapisan rakyat yang prihatin mengenai isu ini untuk menghadiri pendengaran awam tersebut.
Menurut PAC, menerusi sesi pendengaran awam ini, pandangan dari semua pihak akan dipertimbangkan secara terbuka dan dimasukkan ke dalam laporan PAC sebelum dibentangkan di Parlimen.
Selepas daripada sesi pendengaran awam ini, PAC akan mengadakan prosiding secara tertutup di bawah Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dengan memanggil saksi-saksi terdiri daripada pemegang taruh utama dalam isu ini terdiri daripada kementerian atau Jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.
Mereka yang berminat untuk menghadiri boleh mendaftar di parlimenmalaysia.info/kehadiranpesertapublichearing.
Pada Januari lalu, ahli PAC dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata jawatankuasa itu komited untuk melibatkan khalayak yang luas, termasuk orang awam, dalam perbincangan mengenai langkah-langkah pengawalseliaan untuk sektor penjagaan kesihatan swasta.
Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendedahkan industri insurans dan takaful mencatatkan purata keuntungan tahunan sebanyak RM4.4 bilion antara 2018 dan 2023 daripada syarikat insurans hayat dan pengendali takaful keluarga. – 7 Februari, 2025