‘Manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan’ PAS harap Hannah maafkan Razman

Hashim berkata parti lain juga banyak melakukan kesalahan dan kemudian meminta maaf serta dimaafkan

11:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sepatutnya menerima permohonan maaf daripada Razman Zakaria dan tidak memanjang isu berhubung kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak itu yang menyifatkan beliau sebagai ‘anak YTL’.

Menurut Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, parti lain juga banyak melakukan kesalahan dan kemudian meminta maaf serta dimaafkan.

Malah menjadi adat dalam berpolitik, katanya, bukan sahaja PAS, parti lain pun pernah melakukan kesilapan.

Hashim bagaimanapun menegaskan mana-mana ahli atau pemimpin PAS yang membuat perkara salah termasuk menyebarkan fitnah dengan sengaja wajar menanggung tindakan itu.

“Tapi kita sebagai manusia biasa, tak sunyi daripada melakukan kesilapan. Saya rasa apa yang berlaku dalam kes membabitkan Pesuruhjaya PAS Perak itu, dia sedar bahawa dia tersilap dan dia minta maaf.

“Sebab dia dah minta maaf, orang lain atau parti lain pun banyak buat salah dan kemudian minta maaf dan dimaafkan.

“Kenapa dalam kes ini tidak boleh dimaafkan pula,” soalnya ketika dihubungi Scoop hari ini.

Pesuruhjaya PAS Perak itu mencetus kontroversi apabila mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai anak kepada Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.

Razman kemudiannya memohon maaf kepada kedua-dua pihak atas kesilapan yang dilakukannya dan mengakui terkhilaf apabila mengaitkan Hannah dengan konglomerat YTL menerusi video berdurasi 19 saat pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar, Parit pada Ahad.

Bagaimanapun Hannah memaklumkan beliau akan mengambil tindakan undang-undang dan menyifatkan fitnah tidak boleh dibenarkan menjadi satu kebiasaan terutamanya oleh orang yang beragama.

Susulan itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari mengkritik tindakan berdiam diri dan membisu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man apabila membenarkan fitnah menjadi budaya dalam parti Islam itu.

Tidak terkecuali ialah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengingatkan kepimpinan PN supaya menyemak fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan secara terbuka.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad dikenakan denda sebanyak RM830,034.75 apabila didapati bersalah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap tiga pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.

Dalam pada itu, Hashim berkata beliau bersetuju dengan kenyataan peringatan Muhyiddin dan teguran itu perlu disemat dalam ingatan semua ahli dan pemimpin dalam PN.

“Nasihat Muhyiddin supaya diteliti dan sebagainya bagus, sepatutnya kita begitu.

“Tetapi ketelitian kita itu tidak menjamin kebenaran. Orang yang teliti pun silap juga, bila berlaku silap itu biasa kerana manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan
Jadi kita minta maaflah,” katanya. – 2 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Lim Guan Eng faces party rebellion as grassroots call for his ouster

Party insiders say growing dissent over Lim’s leadership, with critics blaming him for internal strife and strategic missteps

MACC raids home of Ismail Sabri’s ex-aide, over RM100 mil cash seized

Source says authorities also confiscated documents, jewellery, electronic devices

Related