PAS tak kisah siapa dilantik Bendahari namun susunan dalam kepimpinan PN perlu adil: Mursyidul Am

Setakat ini tidak diketahui siapa bakal mengisi jawatan bendahari PN, kata Datuk Hashim Jasin

2:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – PAS tidak kisah sesiapa pun yang akan dilantik sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) namun mahukan keadilan dalam penyusunan kepimpinan gabungan berkenaan.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin ketika dihubungi Scoop berkata, susunan dalam kepimpinan PN itu yang lebih seimbang menjadi perkara yang lebih penting untuk ditumpukan berbanding mengisi pengganti Bendahari Agung PN.

“Setakat ini tidak dengar lagi siapa akan mengisi jawatan bendahari PN, mungkin ada dalam pengetahuan Presiden.

“PAS tidak kisah siapa sahaja boleh dilantik, tapi biarlah wujud keadilan dalam penyusunan pimpinan PN, sebab nampak sangat ketidakadilannya, kita mahu kalau boleh perbetulkan balik,” katanya kepada Scoop hari ini.

Terdahulu Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, parti itu belum membincangkan lagi pelantikan jawatan Bendahari Agung PN bagi menggantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menggalas tanggungjawab itu sebelum ini.

Beliau berkata, kebiasaannya urusan tersebut diserahkan kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membuat keputusan.

Pada 11 Disember tahun lalu, Menteri Besar Terengganu itu mengumumkan melepaskan jawatan beliau sebagai Bendahari Agung PN.

Ahmad Samsuri berkata, peletakan jawatan sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) adalah sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan gabungan itu menjelang pilihan raya umum akan datang.

Beliau menegaskan bahawa keputusan tersebut tidak ada kaitan dengan sebarang pergolakan dalaman PN

Dalam pada tu, ditanya sama ada perkara itu dimaklumkan secara terus kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Hashim berkata, beliau hanya bercakap secara umum dan sewajarnya ia difahami semua rakan gabungan PN.

“Kita hanya maklum secara umum sahaja, seperti kesepakatan kita dalam usaha ke arah perpaduan ummah. – 1 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related